GEORGE TOWN: Pelaksanaan tarif air baharu di Pulau Pinang yang bermula pada 1 Julai ini tidak boleh ditangguhkan kerana langkah itu penting untuk memastikan pelbagai projek pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur dapat dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan bekalan air pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata keuntungan yang direkodkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ketika ini tidak mencukupi untuk membiayai pelbagai projek berskala besar yang dirancang bagi memenuhi permintaan air yang semakin meningkat.
"Antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuklah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Mengkuang, dua LRA baharu di Sungai Krian berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan 114 MLD, projek pengambilan air mentah di Sungai Prai dan Sungai Muda serta penggantian paip lama.
"Setiap loji rawatan air memerlukan kos ratusan juta ringgit, semua projek itu memerlukan dana yang besar dan tidak boleh ditangguhkan kerana penting untuk menjamin bekalan air pada masa depan," katanya pada sidang media di Komtar, hari ini.
Beliau mengulas gesaan beberapa pihak supaya kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan tarif air baharu serta memberikan penjelasan terbuka mengenai kedudukan kewangan, perbelanjaan pentadbiran dan perancangan pembangunan masa depan syarikat utiliti itu.
Mengulas lanjut, Zairil berkata antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan pembangunan infrastruktur bekalan air pada masa lepas ialah kadar tarif yang terlalu rendah sehingga mengehadkan keupayaan PBAPP untuk melaksanakan pelaburan dalam kemudahan baharu.
"Jika tarif terlalu rendah, pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk membuat pelaburan dalam infrastruktur sebab itu kita perlu meningkatkan dana PBAPP supaya semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual," katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa PBAPP dan kerajaan negeri tetap mengambil kira kepentingan pengguna domestik, khususnya golongan yang menggunakan air pada kadar rendah dengan memastikan kenaikan tarif bagi penggunaan kurang daripada 35,000 liter air sebulan kekal pada tahap yang terkawal.
Semalam, kerajaan negeri mengumumkan Pulau Pinang akan melaksanakan kadar tarif air baharu bagi pengguna domestik dan bukan domestik mulai 1 Julai ini selepas pelaksanaannya ditangguhkan selama 12 bulan.
Pelarasan itu melibatkan 82 peratus pengguna domestik atau isi rumah yang menggunakan 35 meter padu air atau kurang setiap bulan, dengan kenaikan 8.5 sen atau RM2.55 sebulan.
-- BERNAMA