Skip to main content

Bisnes

BNM, World Bank, UNDP Biofin terbit laporan penilaian risiko kewangan berkaitan alam semula jadi

71740634053_BNM.jpg
BNM berkata laporan itu meneliti sejauh mana kebergantungan dan impak aktiviti sektor kewangan terhadap alam semula jadi.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM), World Bank Group and the United Nations Development Programme Biodiversity Finance Initiative (UNDP BIOFIN) hari ini menerbitkan laporan bertajuk “A LEAP for Nature: Advancing Nature-related Financial Risk and Opportunity Assessment in Malaysia”.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata laporan itu meneliti sejauh mana kebergantungan dan impak aktiviti sektor kewangan terhadap alam semula jadi.

“Memandangkan kehilangan alam semula jadi menimbulkan risiko kepada sistem kewangan, laporan ini turut mengkaji pendekatan institusi kewangan dan syarikat apabila menilai risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi,” katanya.

Bank pusat itu berkata laporan berkenaan turut menggariskan cadangan kepada institusi kewangan, syarikat dan entiti sektor awam bagi memperkukuh ekosistem penilaian risiko berkaitan alam semula jadi.

“Ia juga menyediakan panduan praktikal untuk membantu institusi kewangan dan syarikat mengenal pasti serta menilai tahap pergantungan, impak, risiko dan peluang yang berkaitan dengan alam semula jadi.

“Secara kolektif, usaha ini akan memperkukuh daya tahan sistem kewangan Malaysia serta menyokong peralihan ke arah ekonomi yang lebih lestari dan positif terhadap alam semula jadi,” katanya.

Penolong Gabenor BNM Madelena Mohamed berkata terdapat keperluan yang semakin mendesak untuk mempertimbangkan aspek alam semula jadi secara lebih sistematik dalam proses membuat keputusan, merangkumi strategi, pengurusan risiko dan peruntukan modal.

“Seperti yang diketengahkan dalam laporan ini, institusi kewangan dan syarikat boleh mula membina pemahaman yang lebih mendalam mengenai tiga perkara: kebergantungan mereka terhadap alam semula jadi, impak mereka terhadap alam semula jadi, serta risiko dan peluang yang berkaitan dengan kedua-duanya,” katanya.

Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia Judith Green berkata alam semula jadi menyokong kegiatan ekonomi dan kestabilan kewangan, namun nilainya sering tidak diambil kira dalam proses membuat keputusan.

Beliau berkata seiring dengan kemajuan agenda kelestarian Malaysia, adalah semakin penting untuk memahami kebergantungan serta impak perniagaan terhadap alam semula jadi. 

“Laporan ini menyediakan rangka kerja praktikal bagi membantu institusi mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko serta peluang berkaitan alam, yang akhirnya menyokong peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan serta penjanaan pekerjaan yang berkualiti lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Wakil Residen UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Besian Xhezo berkata laporan itu menyediakan titik permulaan yang praktikal bagi syarikat dan institusi kewangan untuk menterjemahkan kesedaran kepada tindakan serta membantu membangunkan ekonomi yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan positif terhadap alam semula jadi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement