Skip to main content

Bisnes

80 peratus biojisim sawit berpotensi jadi produk bernilai tinggi

MUAR, 13 Jan -- Buah sawit yang telah di kait dan sedia untuk dihantar ke kilang untuk di proses ketika sesi lawatan media ke ladang sawit Felda Maokil baru-baru ini._BERNAMA
Ahmad berkata peralihan daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran menerusi biojisim sawit penting bagi menangani isu penyusutan bahan mentah global. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Industri kelapa sawit negara berpotensi menjana nilai ekonomi baharu dengan memanfaatkan kira-kira 80 peratus baki biojisim pokok sawit yang sebelum ini dianggap sebagai sisa.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan Biojisim Kelapa Sawit Antarabangsa Keenam 2026 Profesor Datuk Ahmad Ibrahim berkata industri sawit selama ini lebih tertumpu kepada pengeluaran minyak yang hanya merangkumi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan biojisim pokok sawit.

“Baki 80 peratus lagi sering dianggap sebagai sisa yang mendatangkan masalah kepada alam sekitar, seperti lambakan tandan kosong.

“Bagaimanapun, penyelidikan terkini menunjukkan sisa ini berpotensi besar untuk diubah menjadi produk bernilai tinggi,” katanya pada program Fokus 30 terbitan Bernama Radio bertajuk “Peluang Baharu Dalam Industri Sawit Melalui Biojisim dan Ekonomi Hijau” di sini semalam.

Beliau berkata biojisim sawit bukan sahaja melibatkan tandan kosong di kilang, malah merangkumi pelepah yang dipotong di ladang dan batang pokok sawit apabila proses penanaman semula dilakukan selepas tempoh matang 25 tahun.

Ahmad berkata inovasi semasa membolehkan batang sawit diubah menjadi kayu balak untuk sektor pembinaan, selain penghasilan kertas, biokimia sebagai pengganti petrokimia dan bahan grafit daripada sisa sawit untuk kegunaan bateri kenderaan elektrik.

Bagi memacu pengkomersialan produk berasaskan biojisim secara lebih agresif, Ahmad menyarankan kerajaan memperkukuh agenda perolehan awam dengan menjadi pembeli utama produk berkenaan, khususnya dalam sektor perumahan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata peralihan daripada ekonomi linear (bina-guna-buang) kepada ekonomi kitaran menerusi biojisim sawit penting bagi menangani isu penyusutan bahan mentah global serta menyokong sasaran Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Melalui ekonomi kitaran, produk direka untuk lebih tahan lama, boleh dikitar semula dan mengurangkan sisa.

“Langkah ini bukan sahaja memberi pulangan tambahan kepada industri malah limpahan ekonomi terus kepada pekebun kecil melalui penglibatan pasaran kredit karbon global yang kini mencecah sehingga AS$70 (RM287) per tan di Jepun,” katanya.

Bagi memperincikan hala tuju, cabaran dan usaha mewujudkan ekosistem pasaran biojisim yang lebih telus, Persidangan Biojisim Kelapa Sawit Antarabangsa Keenam 2026 akan diadakan di Cyberview Resort & SPA, Cyberjaya pada 14 dan 15 Julai ini.

Persidangan bertemakan Pemerkasaan Ekonomi Kitaran dan Kelestarian itu dibuka kepada orang ramai, usahawan perusahaan kecil dan sederhana, penyelidik serta pelabur tempatan dan antarabangsa untuk membina rangkaian kerjasama strategik.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement