GEORGE TOWN: Kerajaan komited memelihara dan memartabatkan legasi Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee sebagai khazanah warisan seni negara yang menjadi medium penting dalam memperkukuh perpaduan dan identiti nasional.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata karya Allahyarham bukan sekadar koleksi filem dan lagu, malah suatu warisan budaya dan memori kolektif yang membentuk kesedaran sejarah serta jati diri rakyat Malaysia merentasi generasi.
“Allahyarham telah menghasilkan karya segar yang bukan sahaja mencorakkan landskap seni tanah air, malah mengangkat nilai kemanusiaan dan perpaduan.
“Seni mempunyai kuasa yang luar biasa dalam menyatukan rakyat kerana ia membentuk kesedaran kolektif, iaitu ruang bersama yang membolehkan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar budaya berkongsi emosi, nilai serta aspirasi, sekali gus membina identiti bersama serta memperkukuh kohesi sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Minggu Kenangan P. Ramlee 2026: Sepanjang Riwayatku dan Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P. Ramlee di Auditorium P. Ramlee di sini hari ini yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Aaron berkata dalam konteks Malaysia yang majmuk, seni merupakan bahasa kemanusiaan yang merentasi sempadan kaum, agama dan budaya, sekali gus memupuk empati, menyemai rasa memiliki dan mempertemukan kepelbagaian dalam satu naratif kebangsaan.
Bagi memastikan legasi seniman agung itu terus dipelihara, beliau memaklumkan Arkib Negara Malaysia telah menubuhkan dua institusi khas iaitu Rumah Kelahiran P. Ramlee di Jalan P. Ramlee di sini dan Pustaka Peringatan P. Ramlee di Kuala Lumpur.
“Rumah Kelahiran P. Ramlee yang dibina pada 1926, mempunyai dua bahagian utama skop pameran iaitu menunjukkan living areas semasa Allahyarham menduduki rumah tersebut dan riwayat hidup Allahyarham semasa di Pulau Pinang.
“Pustaka Peringatan P. Ramlee pula menghimpunkan pelbagai koleksi berharga yang merakam perjalanan kerjaya dan sumbangan beliau kepada dunia seni termasuk bahan biografi, anugerah, artifak, kostum, memorabilia, koleksi filem serta pameran berkaitan Biduanita Negara Puan Sri Saloma yang membolehkan generasi kini mengenali tokoh seni negara ini dengan lebih dekat,” katanya.
Menurut Aaron, penganjuran Minggu Kenangan P. Ramlee 2026 dan Sambutan 100 Tahun Rumah Kelahiran P. Ramlee yang berlangsung tiga hari bermula hari ini juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara warisan seni negara.
Pelbagai program diadakan sepanjang penganjuran itu termasuk Bicara Sejarah dan Kenangan Rumah Kelahiran P. Ramlee, Bacaan Yasin dan Tahlil Arwah Tan Sri P. Ramlee, ceramah “Seni Dakwah Seniman” serta Pameran 100 Lampu.
Aaron berkata usaha itu bukan sahaja memartabatkan khazanah budaya dan identiti negara, malah mendidik generasi muda agar terus menghargai sejarah, memperkukuh jati diri nasional serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam membina negara bangsa.
Sementara itu, Tun Ramli turut berkongsi kenangan peribadinya bersama Allahyarham yang disifatkan sebagai sukar untuk mencari tokoh dalam sejarah negara yang meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat selain Laksamana Hang Tuah.
Tun Ramli berkata antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah ketika beliau masih berusia sekitar sembilan atau 10 tahun apabila menyaksikan persembahan jelajah P. Ramlee di sebuah dewan usang di Teluk Anson (kini Teluk Intan), Perak sekitar awal 1950-an.
“Saya dan beberapa rakan tidak dapat masuk ke dalam dewan, jadi kami mengintai persembahan melalui celah dinding papan. Kami siap mengopek papan yang sudah usang untuk melihat dengan lebih jelas tetapi bunyi papan yang patah menarik perhatian petugas sebelum kami dikejar dan terpaksa melarikan diri,” katanya.
Beliau turut berkongsi satu lagi kenangan melibatkan isterinya, Toh Puan Raja Noora Ashikin yang ketika itu bertugas sebagai pegawai kredit di Bank Bumiputera (ketika itu) pada awal 1973.
Tun Ramli berkata Allahyarham P.Ramlee pernah hadir ke bank berkenaan bersama seorang rakan bagi urusan permohonan kemudahan kredit, sekali gus memberi peluang kepada isterinya bertemu secara bersemuka dengan seniman agung itu.
-- BERNAMA