Skip to main content

Dunia

Anwar zahir permohonan maaf, tidak hadir majlis penghormatan terakhir Khamenei

Anwar - Gambar PMO
Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepada Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi ketika mereka bertemu pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 di sini hari ini. - Gambar/ PMO

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan permohonan maaf kepada Kerajaan Iran kerana tidak dapat menghadiri majlis penghormatan terakhir Pemimpin Agung republik berkenaan Ayatollah Ali Khamenei.

Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepada Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi ketika mereka bertemu pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Khamenei.

“Saya juga menyampaikan permohonan maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis penghormatan terakhir Allahyarham berikutan komitmen rasmi yang tidak dapat dielakkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu diamanahkan untuk mewakili kerajaan serta rakyat Malaysia bagi menghadiri majlis penghormatan terakhir itu.

Khamenei, 86, terkorban di kediamannya di Tehran pada 28 Feb lepas akibat serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Majlis itu dijadual berlangsung selama enam hari bermula 4 Julai ini dengan perarakan jenazah di Tehran dan Qom sebelum Khamenei disemadikan di Makam Imam Reza di Mashhad pada 9 Julai.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement