Skip to main content

Malaysia

MyLesen B2: Lesen bukan ‘tiket untuk berlumba' - Loke

SEREMBAN, 2 Julai -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu sempena Program MyLesen (B2) peringkat Negeri Sembilan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini._BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu sempena Program MyLesen (B2) peringkat Negeri Sembilan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Golongan muda terutamanya penerima manfaat Program MyLesen B2 diingatkan bahawa lesen memandu motosikal yang diterima bukan 'tiket untuk berlumba' sebaliknya amanah serta bertanggungjawab untuk menunggang secara berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata saban tahun kira-kira 60 peratus kes kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini direkodkan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, dengan majoriti mangsa terdiri daripada golongan berusia bawah 30 tahun.

“Lesen ini diberikan secara percuma supaya anda dapat membawa motosikal dengan sah mengikut undang-undang. Kita mahu adik-adik pergi ke sekolah dengan selamat dan pulang ke rumah setiap hari dengan selamat.

“Hujung minggu bukannya masa untuk berlumba. Kalau hendak keluar, bawalah motosikal dengan cermat dan berhati-hati. Jangan terjebak dalam apa-apa aktiviti haram, terutama berlumba di atas jalan raya," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan lesen memandu kepada peserta program MyLesen B2 Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan  Datuk Seri Jana Santhiran Muniyan, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ)  Datuk Aedy Fadly Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi Datuk Jazmanie Shafawi dan Pengarah JPJ negeri Jasyindar Singh Sihdu.

Loke berkata pada tahun ini kuota Program MyLesen B2 di Negeri Sembilan ditingkatkan kepada 2,300 peserta, berbanding 1,000 peserta pada tahun lepas.

"Sehingga kini, seramai 1,979 peserta memperoleh Lesen Belajar Memandu (LDL), manakala 1,879 peserta berjaya menamatkan latihan serta lulus ujian kompeten untuk memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL)," katanya.

Beliau berkata program MyLesen B2 yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 penerima di seluruh negara sejak 2023 menyediakan akses kepada pelesenan memandu selain membuka peluang lebih luas kepada rakyat untuk mendapatkan pekerjaan, melanjutkan pendidikan serta meningkatkan taraf sosioekonomi melalui mobiliti yang sah dan selamat.

Katanya, MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus memperkukuh pelaksanaan program MyLesen B2 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, memudahkan mobiliti dan aksesibiliti seterusnya membentuk ekosistem pengangkutan yang lebih menyeluruh dan mampan untuk seluruh rakyat.

Dalam pada itu, Loke berkata Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang antara lainnya bertujuan untuk membendung aktiviti lumba haram dan menduga kelajuan melibatkan semua jenis kenderaan. 

"Siapa yang ditangkap oleh JPJ ataupun polis kerana berlumba haram bukan sahaja dikenakan denda, malah boleh dipenjarakan. Ini satu kesalahan yang serius,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pemegang lesen baharu supaya mematuhi undang-undang jalan raya, mengamalkan tunggangan berhemah serta memakai topi keledar yang memenuhi piawaian SIRIM setiap kali menunggang atau membonceng motosikal.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement