JAKARTA: Tourism Malaysia mempergiat usaha menarik pemain golf Indonesia sebagai sebahagian kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 untuk meningkatkan ketibaan salah satu pasaran pelancongan ke luar negeri terbesarnya.
Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan berkata pelancongan golf kekal sebagai antara produk pelancongan minat khas utama Malaysia, dengan Indonesia terus menawarkan potensi pertumbuhan yang kukuh untuk segmen itu.
“Menerusi program ‘Swing into Malaysia: Golf & Beyond’, kami menyasarkan untuk mempamerkan padang golf Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sambil mempromosikan pengalaman pelancongan yang pelbagai di negara ini, termasuk kulinari, kesihatan, membeli-belah dan tarikan mesra keluarga,” katanya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Kelab Golf Gading Raya, di Tangerang, pada Khamis.
Program yang dirasmikan oleh Kuasa Usaha Malaysia di Indonesia Farzamie Sarkawi itu menampilkan pembentangan oleh pusat peranginan golf dan pengendali pelancongan Malaysia yang mempromosikan pakej pelancongan golf yang disesuaikan untuk pengunjung Indonesia.
Kira-kira 60 peserta jemputan, terdiri daripada ejen pelancongan keluar negeri, persatuan golf, pempengaruh digital dan ahli komuniti golf Indonesia, menghadiri program itu, yang dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Airlines, AirAsia dan TransNusa.
Hairi berkata Malaysia menyediakan lebih 320 acara dan festival sepanjang 2026 di bawah kempen Melawat Malaysia 2026, meliputi sukan, budaya, beli-belah, gastronomi dan pengalaman pelancongan lain yang direka untuk mempamerkan kepelbagaian tarikan negara.
Beliau berkata antara acara sukan utama kempen itu ialah Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) Ke-30 Final Dunia, yang dijadualkan berlangsung di Desaru Coast, Johor, dari 23 hingga 31 Okt.
Lebih 650 pemain golf amatur dari seluruh dunia dijangka mengambil bahagian, tambahnya.
Hairi berkata perjalanan antara Indonesia dan Malaysia juga kini lebih mudah, dengan kira-kira 670 penerbangan terus seminggu menghubungkan 16 bandar Indonesia ke destinasi termasuk Kuala Lumpur, Subang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.
Beliau menambah laluan baharu Jakarta-Kota Bharu, yang mula beroperasi pada 16 Jun, akan memberikan pelancong Indonesia akses lebih mudah ke pantai timur Malaysia, yang terkenal dengan warisan budaya, masakan tradisional dan tarikan semula jadi.
-- BERNAMA