KOTA BHARU: Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand terus diperkukuh susulan kejadian letupan bom yang mencederakan dua rakyat Malaysia di Tak Bai, Narathiwat, Isnin lepas.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata walaupun insiden itu berlaku di luar Malaysia, aspek keselamatan anggota yang bertugas serta rakyat negara ini kekal menjadi keutamaan.
“Komunikasi dan pertukaran maklumat sentiasa dilakukan dengan pihak berkuasa Thailand dan segala perkara berkaitan keselamatan rakyat diberi keutamaan.
“Sebarang kejadian di kawasan sekitar akan dipantau, selain memperkukuh aspek keselamatan tanpa mengabaikan usaha membanteras aktiviti penyeludupan yang melibatkan semua agensi penguat kuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera Edisi Pantai Timur di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama dengan tentera Thailand juga terus diperkukuh melalui komunikasi berterusan, selain perbincangan menerusi Jawatankuasa Sempadan Bersama yang membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara.
Adly berkata Malaysia turut menjalin hubungan baik dengan negara-negara ASEAN, termasuk dalam aspek perkongsian maklumat keselamatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Media sebelum ini melaporkan dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka rosak teruk akibat letupan bom di sebuah jalan di daerah Tak Bai, Narathiwat, Isnin lepas.
Dua mangsa, Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38, yang sedang bercuti di Narathiwat, menerima rawatan awal di Hospital Narathiwat sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
-- BERNAMA