SHAH ALAM: SHAH ALAM, 2 Julai (Bernama) -- Selangor mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat pada 2025 dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM460.1 bilion, meningkat sebanyak RM28 bilion daripada angka pada tahun sebelumnya.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi itu adalah pertumbuhan dua kali berbanding mana-mana negeri.
“Rekod ini turut mengatasi tinjauan ekonomi yang dibuat oleh Universiti Putra Malaysia bersama-sama Institut Penyelidikan Selangor yang mengunjurkan ekonomi Selangor berkembang kepada sekitar RM455.3 bilion.
“Prestasi ini sekali gus meningkatkan sumbangan Selangor kepada KDNK Malaysia daripada 26.2 peratus kepada 26.5 peratus dan mengembangkan saiz ekonomi Selangor lebih 1.7 kali berbanding Kuala Lumpur dan 2.7 kali berbanding Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2025 pada kadar 6.3 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 5.2 peratus.
Pertumbuhan itu dipacu tiga sektor utama iaitu perkhidmatan dengan nilai RM15.9 bilion, pembuatan (RM5.3 bilion) dan pembinaan (RM3.7 bilion), katanya.
Amirudin berkata pencapaian itu turut mengukuhkan sumbangan Selangor sebanyak satu pertiga atau 35.9 peratus kepada aktiviti pembinaan negara manakala sumbangan kepada industri pembuatan meningkat kepada 32.8 peratus serta perkhidmatan (27.1 peratus).
“Prestasi ini tidak mungkin tercapai kalau bukan kerana penyusunan struktur ekonomi negeri menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), rancangan pembangunan sosioekonomi negeri lima tahun bermula 2021 sehingga 2025.
“Dalam tempoh RS-1, ekonomi Selangor berkembang 33.94 peratus, lebih satu pertiga iaitu RM116.6 bilion, (meningkat) daripada RM343.5 bilion pada tahun sebelum RS-1 kepada RM460.1 bilion pada 2025,” katanya.
Amirudin turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan penjawat awam, pihak industri dan rakyat Selangor atas sumbangan dan kesungguhan demi kemakmuran ekonomi negeri.
Beliau berkata bagaimanapun, semua pihak tidak boleh leka sebaliknya perlu bersama-sama mengatasi cabaran untuk Selangor muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang merekodkan ekonomi bernilai RM500 bilion.
Beliau juga menyeru kerjasama dan peningkatan produktiviti dalam sektor awam dan swasta.
“Melangkah ke hadapan, pentadbiran ini akan memberikan tumpuan kepada agenda kemampuan hidup rakyat agar kemajuan ekonomi negeri dapat terus memberikan perubahan positif kepada kualiti hidup rakyat,” katanya.
Tahun lepas, media melaporkan Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa ekonomi utama negara apabila mencatatkan KDNK bernilai RM432.1 bilion pada 2024, tertinggi antara negeri.
Invest Selangor dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu merupakan momentum ketara daripada RM406.1 bilion yang direkodkan pada 2023, menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang melepasi paras RM400 bilion selama dua tahun berturut-turut.
Prestasi memberangsangkan itu mengukuhkan lagi peranan Selangor sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, menyumbang 26.2 peratus kepada jumlah keseluruhan KDNK Malaysia, meningkat daripada 25.9 peratus pada tahun sebelumnya, tambahnya.
-- BERNAMA