LAPAN sami Buddha maut manakala 13 lagi cedera selepas sebuah pikap dipandu kanak-kanak berusia 11 tahun merempuh kumpulan berkenaan yang berjalan kaki di wilayah Mukdahan, timur laut Thailand, pada Khamis.
Polis dilapor berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari di Ban Na Si Nuan, daerah Mueang, menurut KhaosodEnglish.
Pasukan penyelamat, polis dan petugas kecemasan yang tiba di lokasi menemukan ramai mangsa terbaring di atas jalan serta kawasan tepi jalan.
"Lima sami disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital.
"Seramai 13 sami yang mengalami kecederaan serius dihantar ke beberapa hospital berhampiran untuk rawatan kecemasan," kata jurucakap polis.
Bangkok Post melaporkan pemandu terbabit ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang memandu tanpa kebenaran ibu atau bapanya.
Dia memandu kenderaan itu dari daerah Don Tan menuju ke Mueang sebelum hilang kawalan dan merempuh kumpulan sami berkenaan.
Ketika kejadian, seramai 34 sami sedang melakukan perjalanan ziarah berjalan kaki dari wilayah Ubon Ratchathani menuju ke daerah Don Tan di Mukdahan.