Skip to main content

Teknologi

UBTECH perkenal robot humanoid baharu untuk penjagaan warga emas, hospitaliti

Dalam filem Aliens, The Creator, Blade Runner dan The Matrix, manusia di masa hadapan berjaya menghasilkan robot humanoid yang kelihatan realistik seperti manusia sebenar. Fiksyen kini maju selangkah untuk menjadi realiti selepas robot UBTech UWORLD U1 dilancarkan di China semalam.
Robot humanoid itu turut dilengkapi sistem Agent Memory OS yang membolehkan ia mengingati konteks interaksi dan perbualan untuk tempoh jangka panjang. -Foto Amanz

SYARIKAT robotik China, UBTECH, melancarkan siri robot humanoid ultra-bionik komersial baharu dikenali sebagai UWORLD U1 yang menampilkan reka bentuk dan ekspresi wajah menyerupai manusia sebenar.

Siri itu ditawarkan menerusi tiga varian iaitu UWORLD U1 Lite, U1 Pro dan U1 Ultra yang disasarkan untuk kegunaan sebagai pembantu peribadi, peneman warga emas, sokongan pendidikan serta aplikasi dalam sektor hospitaliti, lapor Amanz.

Model U1 Lite hadir dalam reka bentuk separuh badan dan sesuai digunakan bagi tugasan khidmat pelanggan serta penyambut tetamu.

Sementara itu, U1 Pro dan U1 Ultra dilengkapi tubuh penuh dengan 88 darjah kebebasan pergerakan yang membolehkannya meniru sehingga 90 peratus pergerakan asas manusia.

Robot humanoid itu turut dilengkapi sistem Agent Memory OS yang membolehkan ia mengingati konteks interaksi dan perbualan untuk tempoh jangka panjang.

Menurut UBTECH, sistem berkenaan turut menyokong lebih 20 ekspresi emosi bagi meningkatkan interaksi secara semula jadi dengan pengguna.

UBTECH berkata siri UWORLD U1 dibangunkan bagi memenuhi keperluan penjagaan warga emas, sokongan emosi, pendidikan, hospitaliti dan pelbagai aplikasi perkhidmatan lain.

Setakat hari pelancarannya, jumlah tempahan terkumpul bagi siri UWORLD U1 telah mencecah 13,361 unit.

Robot itu ditawarkan pada harga bermula 119,800 yuan (kira-kira RM72,000).

 

Must Watch Video

Advertisement