Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Pembedahan kardiotorasik, kanak-kanak, urologi paling lama ditunggu

KUALA LUMPUR, 16 Julai -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Dzulkefly Ahmad, bagi prosedur jantung seperti angiogram dan Percutaneous Coronary Intervention (PCI), tempoh menunggu adalah antara dua hingga 12 bulan. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kekurangan doktor pakar menyebabkan pembedahan kardiotorasik, pembedahan kanak-kanak dan urologi merekodkan tempoh menunggu paling lama di hospital kerajaan berikutan permintaan terhadap perkhidmatan yang lebih tinggi berbanding bilangan pakar yang tersedia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bagi prosedur jantung seperti angiogram dan Percutaneous Coronary Intervention (PCI), tempoh menunggu adalah antara dua hingga 12 bulan.

Sementara itu ujar beliau bagi pembedahan elektif, pesakit kanser lazimnya perlu menunggu antara satu hingga enam minggu untuk menjalani pembedahan, manakala pesakit bukan kanser antara dua minggu hingga 13 bulan.

Tambahnya, bagi awatan radioterapi bagi pesakit kanser mengambil masa sekitar empat hingga 10 minggu.

"Bagi prosedur diagnostik dan pengimejan pula, tempoh menunggu bagi kes elektif adalah antara dua minggu hingga 10 bulan.

"Secara purata, pesakit perlu menunggu 2.5 bulan untuk menjalani imbasan CT, empat bulan bagi MRI dan 2.6 bulan bagi mammogram," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai purata tempoh menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan pakar, pembedahan dan prosedur penting di hospital kerajaan.

Dzulkefly berkata, bagaimanapun keutamaan janji temu imbasan CT diberikan kepada pesakit kanser dalam tempoh seminggu atau selewat-lewatnya dua minggu.

Beliau berkata, bagi pesakit yang disyaki menghidap kanser tetapi belum disahkan melalui ujian histopatologi (HPE), janji temu akan diberikan dalam tempoh dua hingga empat minggu.

Menurutnya, semua kes kecemasan dan kritikal sentiasa diberi keutamaan untuk menerima rawatan segera, manakala tempoh menunggu bagi kes elektif ditentukan berdasarkan penilaian klinikal, keperluan perubatan serta ketersediaan sumber hospital.

Beliau berkata, tempoh menunggu rawatan di hospital kerajaan berbeza mengikut jenis rawatan, disiplin kepakaran, tahap kecemasan klinikal dan kapasiti semasa fasiliti.

Must Watch Video

Advertisement