Skip to main content

Berita

Malaysia perlu tangani isu buruh paksa, perkukuh ESG elak risiko tarif AS - Pakar

U.S. President Donald Trump delivers remarks on tariffs in the Rose Garden at the White House in Washington, D.C., U.S., April 2, 2025. REUTERS/Carlos Barria
Donald Trump pada Jumaat meneruskan tarif baharu sehingga 12.5% ke atas 60 negara bagi menangani isu buruh paksa dan mengubah landskap perdagangan global. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan standard buruh bagi mengelakkan risiko dikenakan tarif lebih tinggi oleh Amerika Syarikat pada masa depan.

Pakar Ekonomi MBSB Research, Meor Agil Meor Azalan berkata, walaupun Malaysia tidak menggunakan buruh paksa secara sistematik dalam sektor utama ekonomi, masih wujud jurang dari segi mekanisme saringan ke atas bahan mentah atau produk yang diimport dari negara ketiga yang berpotensi mempunyai unsur buruh paksa dalam rantaian bekalan.

Menurutnya, perkara itu boleh menjadi perhatian pihak berkuasa perdagangan Amerika Syarikat (USTR), susulan pendekatan Washington yang semakin tegas terhadap isu buruh paksa dalam perdagangan antarabangsa.

Perkembangan terkini dasar USTR itu memberi mesej jelas bahawa isu buruh kini bukan lagi sekadar isu sosial tetapi menjadi faktor penting dalam perdagangan global.

"Isu buruh kini menjadi kos kepada perdagangan. Ia menandakan bahawa Amerika Syarikat tidak bertoleransi terhadap sebarang rantaian bekalan yang mempunyai kaitan dengan buruh paksa," jelasnya.

Meor Agil menjelaskan, perkembangan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap sektor eksport utama negara seperti elektrik dan elektronik (E&E), meskipun sektor berkenaan ketika ini masih mendapat pengecualian dalam beberapa langkah perdagangan yang dilaksanakan Amerika Syarikat.

"Ini merupakan amaran awal kepada sektor utama negara seperti elektrik dan elektronik (E&E), perladangan dan pembuatan supaya memastikan rantaian bekalan mereka mematuhi standard antarabangsa," katanya.

Namun, menurut beliau, di sebalik risiko tersebut, Malaysia juga mempunyai peluang untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan dagang yang dipercayai di rantau ASEAN sekiranya isu ESG dan standard buruh ditangani secara lebih telus dan proaktif.

"Terdapat peluang strategik untuk Malaysia memposisikan dirinya sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang dipercayai.

"Kesimpulannya, ESG dan standard buruh bukan lagi pilihan tambahan, sebaliknya telah menjadi faktor penentu daya saing Malaysia di peringkat global," katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat.

Must Watch Video

Advertisement