LOS ANGELES: Firma penjanaan imej kecerdasan buatan (AI), Midjourney Inc, memfailkan usul mahkamah bagi memaksa beberapa studio Hollywood mendedahkan dokumen berkaitan strategi dan penggunaan AI dalam operasi dalaman masing-masing.
Langkah perundangan itu menyasarkan beberapa syarikat media dan hiburan utama iaitu The Walt Disney Company, NBCUniversal dan Warner Bros. Discovery sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan diri dalam saman pelanggaran hak cipta yang sedang dihadapinya.
Menurut pemfailan di mahkamah persekutuan yang dilaporkan portal teknologi Engadget, Midjourney menuntut akses kepada pelan perniagaan AI, laporan penyelidikan, set data latihan (training datasets), pemberat model (model weights), serta pembentangan lembaga pengarah berkaitan AI milik studio berkenaan.
Midjourney menyatakan bahawa dokumen terbabit diperlukan bagi mengukuhkan hujah pembelaannya berasaskan prinsip penggunaan adil (fair use) dan doktrin tangan bersih (unclean hands).
Peguam Midjourney, Bobby Ghajar, berhujah bahawa sekiranya studio terbabit turut melatih model AI mereka menggunakan bahan berhak cipta milik pihak ketiga tanpa lesen bagi kegunaan dalaman seperti pembangunan papan cerita (storyboarding), ia boleh menunjukkan bahawa penggunaan data awam merupakan amalan biasa dalam industri.
Sebelum ini, studio berkenaan memfailkan saman terhadap Midjourney atas dakwaan syarikat itu mengumpul dan menggunakan kandungan filem serta siri televisyen mereka tanpa kebenaran bagi membolehkan pengguna menghasilkan imej watak terkenal seperti Darth Vader, Shrek dan Minions.
Pada pertengahan Jun lalu, seorang hakim majistret mengehadkan skop pendedahan dokumen kepada aplikasi AI yang digunakan secara langsung oleh pengguna (consumer-facing).
Bagaimanapun, Midjourney kini memohon Hakim Persekutuan John Kronstadt membatalkan keputusan itu bagi membolehkan siasatan lebih meluas dijalankan terhadap sistem dan pembangunan AI dalaman studio Hollywood terbabit.
Sementara itu, ketua peguam yang mewakili studio berkenaan, David Singer, menolak permohonan tersebut dengan menyifatkannya sebagai usaha "memancing maklumat" (fishing expedition) yang bertujuan mengalihkan perhatian daripada isu utama kes iaitu dakwaan pelanggaran hak cipta oleh Midjourney.