Skip to main content

Dunia

Presiden Iran kritik sikap berdiam diri antarabangsa terhadap tindakan Israel

Iranian President Masoud Pezeshkian speaks during a meeting in Ilam, Iran, June 12, 2025. Iran's Presidential website/WANA (West Asia News Agency)/Handout via REUTERS
Pezeshkian berkata Israel menyerang beberapa negara di rantau itu serta bertanggungjawab terhadap banyak krisis dan ketidakstabilan di Asia Barat. - Foto Reuters

ISTANBUL: Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Sabtu mengkritik institusi antarabangsa atas apa yang disifatkannya sebagai kegagalan menghentikan tindakan Israel di rantau itu, sambil berkata badan antarabangsa terus berdiam diri walaupun Israel secara terbuka bercakap mengenai pembunuhan dan pembunuhan bersasar, lapor Anadolu Ajansi.

Berucap pada satu persidangan di Dewan Sidang Kemuncak Tehran sempena memperingati bekas Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei yang terkorban, Pezeshkian berkata pertubuhan antarabangsa dan pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia sepatutnya menghalang tindakan sedemikian, namun sebaliknya sokongan politik dan logistik pula yang diberikan.

Beliau berkata Israel menyerang beberapa negara di rantau itu serta bertanggungjawab terhadap banyak krisis dan ketidakstabilan di Asia Barat, sambil menambah bahawa negara-negara Islam tidak pernah memulakan tindakan pencerobohan sedemikian.

Pezeshkian turut merujuk kepada permulaan "kepimpinan baharu" bagi komuniti Islam dengan menyatakan bahawa kepimpinan semasa memikul tanggungjawab yang besar dan kerajaannya akan terus berusaha merealisasikan cita-cita revolusi, memperkukuh perpaduan Islam serta memperluas solidariti dalam kalangan negara-negara Islam.

Kenyataan itu dibuat ketika upacara pengebumian Khamenei bermula di Tehran, dengan ribuan orang berhimpun di Masjid Imam Khomeini Mosalla bagi memberi penghormatan terakhir.

Khamenei terkorban dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan peperangan selama beberapa minggu sebelum gencatan senjata dicapai menerusi pengantaraan Pakistan pada April, diikuti perjanjian sementara pada Jun.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement