Skip to main content

Malaysia

Kerajaan tingkat sokongan kepada AIM, pastikan tiada kelompok tercicir bantuan - PM Anwar

BATU PAHAT, 5 Julai -- Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai tangan sebaik hadir pada Program Kenduri Rakyat di Villa Kemboja, Semerah hari ini._BERNAMA
Anwar melambai tangan sebaik hadir pada Program Kenduri Rakyat di Villa Kemboja, Semerah. - Foto BERNAMA

BATU PAHAT: Kerajaan akan terus meningkatkan sokongan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai satu daripada usaha memperkasakan capaian bantuan kepada rakyat yang memerlukan di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah meningkatkan sokongan itu, antara lain bagi memastikan tiada kelompok masyarakat terutama di luar bandar yang tercicir daripada sebarang inisiatif ditawarkan.

“Kita boleh belanja untuk sediakan pelabuhan berbilion ringgit, projek lebuh raya berbilion lagi, tetapi untuk orang-orang kampung, inilah antaranya usaha kita menerusi AIM ini, yang kita telah angkat martabatnya menjadi antara program yang terbaik di dunia.

“Saya antara yang membantu mengasaskan penubuhan AIM ini, dan saya buat keputusan kita akan terus beri tumpuan kepada program ini. Sebab banyak agensi hendak tolong rakyat, tapi kadang-kadang masih banyak tercicir,” katanya ketika berucap pada Program Kenduri Rakyat AIM, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata skim pembiayaan mikro AIM ialah inisiatif terbaik yang sukar ditandingi oleh mana-mana institusi serupa pada peringkat global, termasuk Grameen Bank di Bangladesh.

Beliau berkata meskipun model pembiayaan mikro wujud di seluruh dunia, AIM menonjol kerana kadar faedahnya yang jauh lebih rendah dan mesra peminjam berbanding institusi lain.

“Dulu-dulu pinjamannya rendah sahaja, tapi kita tingkatkan sedikit demi sedikit.

“Betul, ada orang kata sahabat saya (ketua penasihat Bangladesh) Profesor Muhammad Yunus buat Grameen Bank (di Bangladesh) baik, tetapi tidak sama dengan kita sebab faedahnya sehingga 12 dan 15 peratus, lain-lain tempat pula ada sehingga 25 peratus, AIM tidak,” kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menemplak dakwaan kononnya beliau hanya mahu membantu rakyat pada saat musim pilihan raya.

untuk meraih undi.

“Pergi mana-mana tambah (bantuan) masa kempen pilihan raya semua nak tolong rakyat, tapi hakikatnya saya salah seorang Perdana Menteri yang paling banyak hadir program AIM, untuk apa? sebab saya tidak pernah lupa rakyat bawah, bukan pergi rasmi program besar sahaja.

“Mana ada Perdana Menteri sanggup turun tujuh lapan kali program macam ini. Saya tahu kita ini (turun padang) sentiasa bincang masa depan negara kita. Kena ingat ya, kalau kita tak ambil keputusan yang baik, keputusan yang bijak, kita akan ketinggalan,” kata beliau.

Menyentuh mengenai kemajuan di Johor, Perdana Menteri berkata negeri paling selatan di tanah air itu telah banyak menikmati pembangunan daripada kerajaan Persekutuan, termasuklah pembiayaan bagi lebuh raya, jambatan serta bangunan besar. 

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement