SUNGKAI: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam nahas yang melibatkan dua buah kereta jenis Perodua di Jalan Kuala Bikam, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 8.28 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor ke lokasi yang jaraknya 18 kilometer dari balai.
Menurutnya, kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua iaitu Myvi dan Axia.
“Terdapat dua orang mangsa berada di dalam kereta Myvi, masing-masing seorang lelaki dewasa dan wanita dewasa berbangsa Melayu, serta seorang lelaki di dalam Axia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua mangsa tidak tersepit tetapi mangsa wanita didapati tidak sedarkan diri.
“Ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER seterusnya mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa di dalam kenderaan dengan menggunakan pengusung,” ujarnya.
Tambahnya, pemandu Myvi didapati mengalami kecederaan ringan di kaki sementara mangsa wanita disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
Sementara itu, Sabarodzi berkata, pemandu Axia seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan di kaki dan luka di bahagian badan.
Menurutnya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh bomba bersama KKM.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah menggunakan ambulans KKM sementara mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang melibatkan enam anggota bomba, selain polis dan KKM, tamat jam 10.33 pagi.