TEHRAN: Solat jenazah bagi Allahyarham Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei bermula hari ini di ibu negara Iran dengan kehadiran ratusan ribu rakyat yang berhimpun untuk memberikan penghormatan terakhir.
Agensi berita rasmi Iran IRNA melaporkan solat jenazah itu diimamkan Ayatollah Jafar Sobhani yang merupakan antara ulama kanan negara berkenaan.
📹 نمای کلی از اقامه نماز بر پیکر رهبر شهید امت و خانواده شهید ایشان#انتقام_خون_رهبر_شهید pic.twitter.com/wdW68f2ztI
— خبرگزاری تسنیم (@Tasnimnews_Fa) July 5, 2026
Selain Khamenei, upacara tersebut turut melibatkan solat jenazah ke atas empat anggota keluarganya yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel pada Februari lalu.
Antara pemimpin tertinggi negara yang hadir ialah Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf dan Ketua Kehakiman Gholamhossein Mohseni Ejei.
Turut menyertai saf solat jenazah ialah Komander Pasukan Quds di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Esmail Qaani.
Perhimpunan besar-besaran itu menandakan permulaan istiadat pengebumian negara yang dijadual berlangsung sehingga 9 Julai, sebelum Allahyarham dikebumikan di Mashhad selepas beberapa acara penghormatan di Tehran dan Qom.