Skip to main content

Malaysia

PM Anwar ucap tahniah ulang tahun ke-87 Rahim Razali

Selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-87 kepada tokoh filem, seniman dan pengkarya veteran negara Dato’ Rahim Razali. --  FB Anwar Ibrahim
Rahim Razali merupakan tokoh serba boleh dalam industri kreatif negara mencakupi bidang lakonan, pengarahan filem, penulisan skrip serta dunia kewartawanan sukan dan penyiaran. - Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada tokoh filem, seniman dan pengkarya veteran negara, Datuk Rahim Razali sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-87.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar menyifatkan Rahim sebagai antara  tokoh penting dalam dunia seni tanah air yang memperkayakan industri menerusi karya merentas zaman serta mengangkat nilai kemanusiaan, budaya dan jati diri bangsa.

"Saya yakin karyanya akan terus menjadi ilham dan pencetus kepada generasi seniman dan pencinta seni untuk masa sekarang dan juga mendatang," kata beliau.

Menerusi hantaran yang sama, beliau turut mendoakan agar pelakon filem Matinya Seorang Patriot itu dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang diberkati serta kekuatan untuk terus menyumbang kepada seni dan kebudayaan tanah air.

Dilahirkan pada 3 Julai 1939 di Batu Gajah, Perak, Rahim Razali merupakan tokoh serba boleh dalam industri kreatif negara mencakupi bidang lakonan, pengarahan filem, penulisan skrip serta dunia kewartawanan sukan dan penyiaran.

Sepanjang lebih enam dekad penglibatannya dalam industri, beliau telah mengarah dan membintangi puluhan filem ikonik selain pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement