Skip to main content

Politik

PRN Johor: Calon BN Kahang mahu bangunkan produk 'Kahang Kita'

V RUGENDRAN
V. Rugendran (kiri) mahu membangunkan jenama 'Kahang Kita' bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan, di samping memperkukuh sektor agro-pelancongan dan peluang pekerjaan. -Foto V Rugendran

KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, V. Rugendran berhasrat membangunkan produk berjenama 'Kahang Kita' bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan, selain memperkenalkan potensi agropelancongan di kawasan itu.

Beliau berkata inisiatif tersebut merupakan antara tiga keutamaan yang bakal dilaksanakan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, selain memberi tumpuan kepada pendidikan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda.

"Saya mahu membantu pekebun kecil dan mereka yang terlibat dalam sektor pertanian untuk mewujudkan satu jenama yang istimewa bagi Kahang, iaitu produk 'Kahang Kita'.

"Kalau berjaya dilaksanakan, ia bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Kahang, malah memperkenalkan Kahang sebagai destinasi agropelancongan dengan pelbagai produk tempatan yang boleh dipasarkan," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Rugendran, pengalaman beliau dalam bidang perniagaan akan dimanfaatkan bagi membantu memasarkan produk tempatan ke pasaran yang lebih luas.

Pada PRN Johor kali ini, Rugendran berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Mohd Sabri Abd Kadir daripada Pakatan Harapan (PH) dan Mazlan Bujang daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada PRN Johor 2022, DUN Kahang dimenangi Barisan Nasional menerusi Datuk R. Vidyananthan dengan majoriti 6,698 undi.

Kerusi itu kini mempunyai 31,116 pengundi berdaftar.

 

Must Watch Video

Advertisement