SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini.
Mohamad yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertanding semula sekiranya diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.
“Kalau dipersetujui oleh pucuk pimpinan, saya tak ada masalah,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di Seremban, pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan muktamad berhubung pencalonannya tertakluk kepada pertimbangan dan persetujuan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional.
Mohamad sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRN 2023 selepas memperoleh 16,957 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan yang meraih 6,677 undi dengan majoriti 10,280 undi.
Ahli Parlimen Rembau itu telah menyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004 dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 2004 hingga 2018.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan, manakala pengundian dijadual berlangsung pada 1 Ogos.
Dalam perkembangan sama, Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan memaklumkan proses pemilihan calon BN masih berjalan dengan setiap UMNO Bahagian diarahkan mengemukakan tiga nama bagi setiap kerusi kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Menurut beliau, pencalonan itu perlu diputuskan menerusi mesyuarat jawatankuasa bahagian selaras dengan perlembagaan parti bagi memastikan proses pemilihan calon berlangsung secara telus.
“Kita telah minta semua ketua bahagian menghantar senarai masing-masing melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
“Calon mesti dicalonkan dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian supaya tidak timbul isu ketelusan dalam pemilihan calon,” katanya.
Beliau berkata, senarai yang dikemukakan itu akan dibawa ke peringkat Pusat sebelum dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi parti.
Mohamad turut memaklumkan senarai calon BN dijangka diumumkan pada 15 Julai sempena pelancaran jentera pilihan raya parti, tiga hari sebelum hari penamaan calon.