SHAH ALAM: Siasatan polis mendapati pihak pengurusan sebuah kolej di Glenmarie di sini dipercayai tidak membuat semakan rekod jenayah lampau ketika mengambil bekerja seorang lelaki yang kini didakwa meliwat dan mencabul dua pelajarnya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata hasil maklumat awal mendapati suspek yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak telah berkhidmat di kolej berkenaan selama kira-kira dua tahun.
Katanya, polis akan merakam percakapan pihak pengurusan kolej dalam masa terdekat bagi mengesahkan sama ada semakan latar belakang jenayah benar-benar tidak dilakukan ketika proses pengambilan pekerja.
"Setakat ini, polis telah mengambil rakaman percakapan daripada dua saksi iaitu pengadu dan bapa suspek, manakala beberapa saksi lain akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Sarudin berkata, siasatan masih diteruskan dengan melengkapkan bukti termasuk rakaman percakapan saksi, bukti digital serta laporan perubatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kakitangan kolej ditahan di sebuah restoran di Shah Alam pada Sabtu selepas disyaki mencabul dan meliwat dua pelajar lelaki berusia 15 tahun.
Menurut laporan, mangsa pertama mendakwa dicabul ketika berada di tandas asrama kolej, manakala mangsa kedua mendakwa diliwat di rumah suspek di Seksyen 18, Shah Alam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.