PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan kewujudan individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM menafikan yang individu berkenaan adalah pegawai suruhanjaya itu dan tindakan tersebut adalah tidak sah, menyalahi undang-undang dan boleh menjejaskan integriti institusi.
“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sekiranya berhadapan dengan individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai SPRM,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, orang ramai juga dinasihatkan agar menyemak identiti pegawai SPRM melalui saluran rasmi sebelum memberikan sebarang maklumat atau kerjasama.
“Laporkan segera kepada SPRM sekiranya berdepan dengan insiden penyamaran,” menurut kenyataan itu.
Menurut SPRM, perbuatan menyamar sebagai pegawai suruhanjaya itu satu kesalahan jenayah dan antara peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan ialah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Peruntukan lain adalah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara hingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan tambahan boleh diambil di bawah undang-undang lain yang berkaitan sekiranya penyamaran tersebut melibatkan penipuan atau cubaan memperdaya masyarakat,” menurut SPRM.
Untuk pengesahan dan maklumat sahih, orang ramai boleh layari laman sesawang rasmi SPRM di www.sprm.gov.my dan media sosial rasmi SPRM (Facebook, Instagram, Tik Tok, Twitter) atau hubungi talian bebas tol: 1-800-88-6000.
Terdahulu, tular gambar di media sosial mengenai kewujudan individu didakwa sebagai pegawai SPRM dengan kad kuasa dipercayai meragukan selain didakwa sebagai scammer oleh pengguna media sosial.
-- BERNAMA