Skip to main content

Malaysia

Laporan penuh insiden letupan bom tangan Kem Hobart dijangka siap pertengahan Julai - Khaled

KOTA TINGGI, 5 Julai -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjawab soalan media selepas menyempurnakan pelancaran Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT) di Masjid Jamek Al-Faizin Felda Air Tawar 2 hari ini.  Program ini merupakan inisiatif strategik oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) bagi memperkukuh hubungan antara anggota tentera dengan komuniti setempat.  Pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan diadakan, termasuk
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjawab soalan media selepas menyempurnakan pelancaran Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT) di Masjid Jamek Al-Faizin Felda Air Tawar 2 hari ini. - Foto Bernama

KOTA TINGGI: Laporan penuh siasatan berhubung insiden letupan bom tangan di Kem Hobart, Gurun, Kedah dijangka akan diserahkan kepada Kementerian Pertahanan pada pertengahan Julai ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang tindakan lanjut akan diputuskan selepas pihaknya menerima hasil dapatan berkenaan.

“Saya difahamkan laporan itu akan diserahkan pada pertengahan bulan ini. Insya-Allah, saya akan laporkan.

“Kita telah minta supaya pihak Angkatan Tentera Darat untuk menilai kembali pendekatan-pendekatan latihan yang dilakukan, termasuklah insiden kedua yang berlaku di kem sama. Kita perlu lihat sama ada ada apa-apa kelemahan lain dan sebagainya. Semua ini akan kita buat keputusan selepas kita terima segala hasil siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir ke Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Felda Air Tawar 2, di sini, pada Ahad.

Khaled menjelaskan, langkah itu penting bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kelemahan struktural, terutama selepas kem yang sama turut merekodkan insiden kedua pada 29 Jun lalu hingga menyebabkan dua anggota tentera cedera di bahagian paha akibat terkena serpihan objek yang melantun ketika melakukan latihan senjata berat.

Mengulas mengenai status prosedur operasi standard latihan sedia ada serta tempoh kali terakhir ia dikemas kini, Khaled memaklumkan, beliau masih belum menerima perincian berkaitan maklumat itu.

Dalam insiden sebelum ini pada 16 Jun lalu, dua anggota tentera maut dalam letupan bom tangan ketika menjalani latihan di lapang sasar sama.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Must Watch Video

Advertisement