DALAM pengamatan saya, kempen pilihan raya negeri Johor semakin rancak dengan balas membalas antara calon dan parti. Saya bukan pakar politik bagi mengulas isu-isu berkenaan.
Namun, sebagai pemerhati ekonomi, saya ingin menarik perhatian kepada satu persoalan yang lebih mendasar. Kebetulan pula, beberapa hari lalu Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan data KDNK negeri terbaharu bagi tahun 2025.
Pemerhatian saya setakat ini, kempen PRN Johor banyak berlegar sekitar pelaburan, peluang pekerjaan, perumahan dan kos sara hidup. Semua isu ini penting.
Namun, persoalan ekonomi yang lebih besar masih belum cukup dibahaskan, iaitu sejauh mana pertumbuhan ekonomi Johor benar-benar diterjemahkan kepada kemakmuran rakyat melalui peningkatan gaji pekerja.
Inilah jurang penting dalam wacana kempen. Rakyat bukan sekadar mahu mendengar angka KDNK, nilai pelaburan dan jumlah projek baharu. Mereka juga mahu melihat kesannya dalam pendapatan bulanan, kualiti pekerjaan dan kemampuan hidup.
Jika KDNK ialah kad laporan ekonomi negeri, maka gaji ialah kad laporan rakyat.
Sejak 2022, ekonomi Johor menunjukkan momentum pemulihan yang lebih kukuh. Data terkini menunjukkan Johor mencatat pertumbuhan KDNK 8.0% pada 2025, tertinggi antara negeri dan mengatasi pertumbuhan nasional 5.2%.
Indeks KDNK Johor meningkat dengan ketara selepas fasa pandemik dan mula mengatasi trajektori nasional (rujuk gambarajah di bawah). Ini menunjukkan bahawa aktiviti ekonomi negeri kembali rancak, disokong oleh pelaburan, perdagangan, perindustrian dan kedudukan strategik Johor sebagai pintu ekonomi selatan negara.
Namun, ukuran prestasi kerajaan tidak wajar berhenti pada KDNK semata-mata. Data gaji purata bulanan menunjukkan pemulihan yang lebih perlahan berbanding pertumbuhan ekonomi (rujuk gambar rajah di bawah). Ini menimbulkan persoalan penting: adakah pertumbuhan Johor benar-benar sampai kepada rakyat Johor?
Persoalan ini boleh dilihat daripada dua perspektif. Perspektif pertama melihat bahawa pentadbiran semasa berjaya meningkatkan ekonomi negeri, tetapi manfaat pertumbuhan tersebut belum diterjemahkan sepenuhnya kepada kesejahteraan rakyat. Dalam erti kata lain, ekonomi berkembang tetapi gaji belum bergerak seiring.
Perspektif kedua pula melihat prestasi Johor secara lebih berfasa. Pentadbiran semasa boleh dikatakan berjaya membawa ekonomi Johor keluar daripada fasa pemulihan selepas pandemik dan meletakkan negeri ini pada landasan pertumbuhan yang lebih kukuh.
Namun, fasa seterusnya memerlukan agenda yang lebih berani, iaitu menjadikan Johor bukan sekadar negeri pelaburan tinggi, tetapi negeri bergaji lebih baik.
Dari kaca mata perancangan dan pembangunan ekonomi, perspektif kedua lebih wajar. Isu gaji ialah isu struktur yang tidak boleh diselesaikan melalui satu penggal pentadbiran atau satu dasar jangka pendek semata-mata.
Untuk mengubah struktur gaji, Johor perlu mengubah struktur ekonominya: daripada ekonomi yang hanya menarik pelaburan kepada ekonomi yang membina pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan produktiviti, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan menaik taraf kemahiran pekerja.
Maka, memberi tumpuan kepada pertumbuhan pada fasa pertama adalah wajar. Tetapi fasa seterusnya mesti lebih jelas: bagaimana pertumbuhan itu diagihkan melalui peningkatan gaji, peluang kerja lebih berkualiti dan laluan kerjaya yang lebih baik untuk rakyat Johor.
Inilah ukuran sebenar PRN Johor dari sudut ekonomi. Bukan sekadar siapa yang boleh membawa lebih banyak projek, tetapi siapa yang mempunyai pelan paling jelas untuk menukar pertumbuhan kepada pendapatan rakyat.
Johor sudah menunjukkan bahawa ekonominya mampu tumbuh lebih pantas. Cabaran selepas ini bukan lagi hanya tentang berapa besar ekonomi negeri, tetapi sejauh mana rakyat Johor merasai pertumbuhan itu dalam slip gaji, peluang kerja dan masa depan ekonomi mereka.
Atas asas data, Johor tidak memerlukan perubahan arah yang terlalu drastik, sebaliknya memerlukan kesinambungan dasar yang lebih tajam, berdisiplin dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Pertumbuhan sudah mula terbentuk. Kini, fasa seterusnya perlu digunakan untuk memastikan pertumbuhan itu benar-benar diterjemahkan kepada kenaikan gaji, peningkatan kemahiran dan kesejahteraan rakyat Johor.
Dr Mohd Yusof Saari merupakan bekas Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau aktif mengikuti perkembangan ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia melalui Centre for Future Studies Berhad (THE FUTURE).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalani mereka, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.