Skip to main content

Malaysia

Suruhanjaya TVET dimuktamad akhir tahun ini - Ahmad Zahid

ISKANDAR PUTERI, 5 Julai -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Program Jelajah TVET MARA Peringkat Negeri Johor di Kompleks Sukan Educity hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Program Jelajah TVET MARA Peringkat Negeri Johor di Kompleks Sukan Educity hari ini. - Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI: Penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembentangan akta berkaitan di Parlimen dijangka dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menggantikan Majlis TVET Negara dalam usaha memperkasakan ekosistem TVET tempatan secara menyeluruh.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada masa ini, sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan sedang rancak dilaksanakan.

“Apabila sesi libat urus selesai, kita akan mengemukakan kertas kepada Kabinet untuk kelulusan. Meskipun kelulusan secara dasar telah diperoleh, kelulusan untuk membawa perkara ini ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedang diuruskan kerana ia melibatkan aspek perundangan yang teliti,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah TVET MARA Johor Darul Ta'zim di Educity Sports Complex di sini hari ini. 

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kewujudan suruhanjaya khusus itu selari dengan model pelaksanaan di negara maju yang mempunyai suruhanjaya sedemikian. 

Beliau berkata peranan suruhanjaya itu kelak tidak hanya terhad kepada penggubalan dasar tetapi juga merangkumi aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan terhadap setiap dasar yang telah ditetapkan.

Sementara itu, menyentuh impak Undi18 di Johor, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata golongan muda memainkan peranan kritikal dalam mencorakkan masa depan kepimpinan negeri itu.

​Beliau berkata kumpulan pengundi di bawah usia 40 tahun termasuk pengundi berusia 18 tahun kini membentuk kira-kira 52 peratus daripada keseluruhan landskap pengundi di Johor.

Sehubungan dengan itu, beliau meletakkan harapan tinggi agar golongan tersebut dapat bergerak bersama-sama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memacu agenda pembangunan Johor.

​”Kita yakin mereka (golongan muda) sangat dekat dengan Onn Hafiz. Kita sekali lagi menonjolkan beliau sebagai tokoh muda dan insya-Allah, atas perkenan pihak istana, ia akan memberikan kesinambungan yang baik sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement