Skip to main content

Malaysia

Seorang maut, seorang parah nahas dua motosikal

SINAR
Seorang penunggang maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal lain berdekatan lampu isyarat di Jalan Kuda Kepang, Taman Ria Jaya, Sungai Petani awal pagi Ahad. - Foto tular

SUNGAI PETANI: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan berdekatan lampu isyarat di Jalan Kuda Kepang, Taman Ria Jaya, di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 40-an maut, manakala seorang lagi penunggang berusia lingkungan 20-an cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, salah sebuah motosikal ketika itu sedang bergerak lurus dari arah Jalan Cinta Sayang menghala ke Taman Ria Jaya, manakala sebuah lagi motosikal keluar dari simpang Jalan PKNK.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki kedua-dua lelaki itu bertembung di lampu isyarat berkenaan," katanya.

Hanyan berkata, siasatan akan dijalankan dari pelbagai aspek termasuk pematuhan terhadap arahan lampu isyarat.

Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan kira-kira jam 8 pagi di Tikam Batu, seorang penunggang motosikal wanita maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta.

Mangsa berusia 60-an disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSAH. -- Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement