Skip to main content

Malaysia

Kerajaan tegas tolak rasuah, ada parti politik tidak senang - PM Anwar

BATU PAHAT, 5 Julai -- Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Program Kenduri Rakyat di Villa Kemboja, Semerah hari ini._BERNAMA
Anwar menyampaikan ucapan pada Program Kenduri Rakyat di Villa Kemboja, Semerah, Batu Pahat, hari ini. -- fotoBERNAMA

BATU PAHAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat parti politik yang berpakat mahu menjatuhkannya kerana kerajaan pimpinannya tegas dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pentadbiran Kerajaan MADANI yang tidak berkompromi dengan amalan mencuri wang rakyat atau menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi menjadi faktor yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pihak tertentu.

“Sebab itu tuan-tuan tahu sekarang, semua parti pakat mahu jatuhkan saya. Kenapa? Sebab dia tahu kita strict (tegas). Dia tahu kita jaga semua,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini, hari ini. 

Turut hadir Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Anwar berkata beliau tidak gentar dengan tekanan politik itu kerana prinsip pentadbirannya jelas, iaitu memastikan pemimpin tidak menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan tanah, projek, saham atau kekayaan peribadi.

Beliau berkata sepanjang beberapa kali turun ke Johor sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengambil sebarang tanah, projek atau saham di negeri itu.

“Saya datang Johor berpuluh kali, saya ambil tanah? Tak. Saya ambil projek? Tak ada. Saya ambil saham? Tak ada. Kita kena ajar wakil rakyat kita, negeri baik, jaga prinsip ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Anwar menyeru pengundi Johor supaya memberi peluang kepada PH untuk mentadbir negeri berkenaan bagi membawa perubahan lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek kebajikan rakyat dan tadbir urus yang bersih.

Beliau berkata Johor perlu mempunyai kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya agenda pembangunan dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri berkata walaupun Johor menerima banyak projek pembangunan bernilai berbilion ringgit, masih terdapat isu asas rakyat yang perlu diberi perhatian termasuk perumahan, jalan, masjid, surau, rumah ibadat serta bantuan kepada golongan memerlukan.

“Pembangunan naik, bilion-bilion ringgit, rumah rakyat mahal. Ini kerja (kerajaan) negeri. Negeri tak buat. Johor negeri kaya. Tak mahu berapa orang kecil kaya, rakyat banyak miskin,” katanya.

Sementara itu Anwar turut mempertahankan kerjasama PH dengan DAP dengan menekankan bahawa sepanjang beliau menerajui kerajaan, wakil DAP dalam Kabinet tidak pernah menentang program berkaitan Melayu dan Islam.

“Saya dah tiga tahun setengah sebagai Perdana Menteri, belum sekali Kabinet daripada DAP menentang program untuk Melayu ataupun Islam. Boleh semak rekod,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa terharu dengan sambutan penyokong PH di Senggarang yang disifatkannya luar biasa kerana sanggup menunggu dalam cuaca panas bagi mengikuti program berkenaan.

“Senggarang ini luar biasa semangatnya. Tengah panas pun boleh tunggu. Jarang ceramah saya orang tengah panas semangat begitu luar biasa,” kata beliau sambil menyeru pengundi di kawasan Senggarang, Rengit dan Penggaram supaya memberi sokongan padu kepada calon PH pada PRN kali ini.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement