KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi meluncurkan avatar atau kembar digital tersendiri yang dinamakan PMX AI untuk diakses oleh orang ramai secara langsung menerusi aplikasi WhatsApp.
Inisiatif terbaharu ini membolehkan pengguna bertanyakan pelbagai persoalan, di samping berkongsikan pandangan, kebimbangan, serta aspirasi secara terus kepada kembar digital berkenaan, lapor Amanz.
PMX AI dibangunkan oleh syarikat teknologi Zetrix AI di bawah platform Avatar.inc dan merupakan salah satu inisiatif yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sistem kecerdasan buatan (AI) ini dilatih secara khusus menggunakan pelbagai dokumen tulisan, teks ucapan, dan rekod dasar kerajaan yang telah diperkenalkan sepanjang tempoh pemerintahan Anwar.
Bagi memastikan maklum balas yang diberikan sentiasa tepat, PMX AI akan terus dilatih dengan kemas kini data serta kenyataan rasmi terbaharu dari masa ke masa.
Langkah pengenalan teknologi ini disifatkan sebagai usaha untuk memodenkan tadbir urus negara, selain memastikan kepimpinan kerajaan menjadi lebih terbuka dan mudah diakses oleh seluruh lapisan masyarakat.
Orang ramai yang berminat boleh mula berinteraksi dan bertanyakan pelbagai perkara berkaitan tadbir urus serta negara menerusi pautan PMX AI di platform WhatsApp hari ini.