Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: PH jangan masuk campur pendirian politik BN, kerjasama masih 'ujian formula' - Syahir

Syahir Che Sulaiman
Syahir Che Sulaiman berkata persefahaman PN-BN di Negeri Sembilan bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi, memperkukuh penyatuan ummah serta menawarkan alternatif kepada pentadbiran PH.

BACHOK: Syahir Che Sulaiman menyifatkan desakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) supaya menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan sebagai tindakan yang janggal dan keterlaluan.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu, PH tidak sepatutnya mencampuri atau cuba menentukan pendirian politik UMNO dan BN yang merupakan sekutu dalam Kerajaan Madani.

“Mengapa PH begitu gelisah di Putrajaya sedangkan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan BN setakat ini hanya terhad kepada ‘persefahaman’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan?” soalnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengapa isu peletakan jawatan tidak timbul ketika BN dan PH bertembung di 56 kerusi pada PRN Johor sebelum ini.

Menurut Syahir, persefahaman PN-BN di Negeri Sembilan bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi, memperkukuh penyatuan ummah serta menawarkan alternatif kepada pentadbiran PH.

"Sebarang bentuk kerjasama PN-BN selepas PRN Negeri Sembilan masih berada pada peringkat “ujian formula” dan semua pihak mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengambil kira pandangan akar umbi," jelasnya.

Syahir turut mendakwa reaksi MCA menunjukkan masih wujud rasa sangsi terhadap kemungkinan kerjasama tersebut.

Beliau juga berpandangan Pemuda PH sepatutnya mendesak Exco daripada PH di Perak dan Pahang meletakkan jawatan terlebih dahulu, selain menyifatkan tindakan DAP Melaka sebagai contoh yang wajar diikuti.

Mengakhiri kenyataannya, Syahir mendakwa keyakinan terhadap Kerajaan Madani semakin terhakis dan menyifatkan Perdana Menteri serta PH kini berdepan penilaian rakyat, khususnya pengundi Melayu.

Pada Sabtu, Pemuda PH mendesak semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan susulan kerjasama terbuka gabungan itu dengan PN dalam PRN Negeri Sembilan dan Johor.

Sayap pemuda PH itu berkata tindakan BN bekerjasama dengan PN menunjukkan gabungan berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, BN bertanding di 25 kerusi manakala PN meletakkan calon di 11 kerusi, menunjukkan persefahaman dibentuk antara kedua-dua gabungan itu.

Must Watch Video

Advertisement