Skip to main content

Bisnes

Eksport Malaysia diunjur berkembang pesat pada 2026, dipacu permintaan kukuh

Pelabuhan Klang
Lebihan perdagangan yang tinggi iaitu RM83.9 bilion pada suku kedua 2026 berbanding RM15.3 bilion pada suku kedua 2025 juga akan memberikan sokongan kepada jangkaan akhir KDNK negara bagi suku kedua 2026. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menaikkan unjuran pertumbuhan eksport Malaysia 2026 kepada sebanyak 21.7 peratus daripada 15.3 peratus sebelum ini, dipacu prestasi eksport 2026 setakat ini yang lebih kukuh berbanding jangkaan, apabila berkembang 27.5 peratus.

Dalam nota penyelidikan pada Isnin, bank pelaburan itu menjelaskan semakan menaik itu turut disokong oleh kekukuhan sektor elektrik dan elektronik (E&E) susulan kitaran peningkatan teknologi yang berterusan serta kitaran pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, lebihan perdagangan yang tinggi iaitu RM83.9 bilion pada suku kedua 2026 berbanding RM15.3 bilion pada suku kedua 2025 juga akan memberikan sokongan kepada jangkaan akhir Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku kedua 2026.

RHB IB menjangkakan Malaysia kekal pada kedudukan positif untuk mengharungi cabaran luaran didorong oleh kepelbagaian struktur ekonomi, penyepaduan kukuh dengan rantaian bekalan serantau dan global serta usaha berterusan untuk mempelbagaikan pasaran eksport di samping mengembangkan penawaran produk.

Walaupun RHB IB kekal positif terhadap prospek eksport Malaysia untuk 2026 secara keseluruhannya namun, beberapa risiko penurunan memerlukan pemantauan rapi.

“Ketegangan geopolitik berpanjangan dan harga minyak yang terus meningkat boleh menjejaskan pertumbuhan global dan aktiviti perdagangan ekoran peningkatan kos pengeluaran, pengangkutan dan operasi.

“Ini seterusnya boleh melemahkan permintaan luaran terhadap eksport Malaysia, terutama dalam industri pembuatan berorientasi eksport yang amat bersepadu dengan rantaian bekalan global,” tambahnya.

Menurut bank pelaburan itu unjuran eksport E&E kekal memberangsangkan dipacu permintaan semikonduktor global yang kukuh susulan kemajuan AI, pengkomputeran awan, pusat data, kenderaan elektrik dan automasi perindustrian.

Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd turut menjangkakan eksport Malaysia berkembang pesat sebanyak 18.9 peratus pada 2026 berbanding 6.6 peratus pada 2025.

Prestasi itu akan didorong khususnya oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap produk teknologi dan permintaan kukuh untuk produk berkaitan komoditi seperti produk petroleum dan gas asli cecair (LNG).

Bagaimanapun, eksport terus terdedah kepada risiko penurunan seperti gangguan bekalan, kos dan tekanan harga yang tinggi, permintaan yang mungkin lemah serta risiko peraturan perdagangan lebih ketat, terutama dikenakan oleh Amerika Syarikat, jelasnya.

“Kami juga menaikkan unjuran pertumbuhan import dengan menjangkakan import berkembang sebanyak 13 peratus tahun ini berbanding 6.0 peratus pada 2025 berasaskan peningkatan berterusan aktiviti ekonomi domestik,” tambah MBSB IB dalam nota penyelidikan hari ini.

Prestasi perdagangan Malaysia mengukuh pada Jun 2026, meningkat 44.7 peratus kepada RM340.9 bilion daripada RM235.6 bilion tempoh sama 2025 dipacu pertumbuhan berterusan dalam eksport dan import, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan eksport berkembang 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion dan import meningkat 43.9 peratus kepada RM163.0 bilion, dengan lebihan perdagangan melonjak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion bagi bulan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement