Skip to main content

Malaysia

Polis Johor rampas methamphetamine RM3.04 juta, lapan termasuk remaja ditahan

JOHOR BAHRU, 22 Julai -- Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad menunjukkan methamphetamine bernilai RM3.04 juta yang dirampas serta antara lapan suspek yang ditahan menerusi satu operasi di bandar raya ini pada 18 Julai lepas, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ab Rahaman menunjukkan methamphetamine bernilai RM3.04 juta yang dirampas serta antara lapan suspek yang ditahan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lapan lelaki termasuk seorang remaja dan merampas methamphetamine bernilai RM3.04 juta dalam operasi di bandar raya ini pada 18 Julai. 

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata suspek terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia 16 hingga 78 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada kira-kira 9 malam.

Beliau berkata serbuan pertama di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah hotel menahan lima suspek termasuk remaja dan warga asing itu dan merampas 50 peket plastik mengandungi methamphetamine seberat 60.78 kilogram di dalam Perodua Bezza.

“Empat suspek terlibat dipercayai berperanan sebagai runner dan transporter serta orang kanan yang menguruskan operasi sindiket.

“Remaja itu berperanan sebagai transporter dan dikenal pasti telah diabai keluarga serta tidak bersekolah sejak Januari tahun lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata tiga lagi lelaki tempatan termasuk ketua sindiket yang berusia dalam lingkungan 50-an pula ditahan di dalam hotel itu.

Ab Rahaman berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif pada Mei lepas dan menjadikan kenderaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

“Tiga daripada mereka didapati positif methamphetamine manakala empat suspek memiliki rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 19 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ab Rahaman turut mengingatkan ibu bapa supaya melaksanakan tanggungjawab dan mengawal anak mereka supaya tidak terjebak jenayah atau penyalahgunaan dadah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement