Skip to main content

Malaysia

JIM tahan majikan warga Sri Langka, selamatkan wanita mangsa buruh paksa

KUALA LUMPUR, 8 April -- Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban bercakap pada sidang media selepas Operasi Bersepadu di sebuah kilang besi Balakong, Cheras hari ini.  Dalam operasi bersepadu tersebut melaksanakan operasi bersepadu di dua buah kilang di Shah Alam dan Balakong Cheras hari ini dan berjaya menahan seramai 133 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan imigresen.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zakaria berkata selain suspek, enam lagi warga Sri Lanka berusia antara 21 hingga 51 tahun yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang majikan lelaki warga Sri Lanka yang dipercayai menjadi dalang aktiviti eksploitasi buruh paksa dalam operasi di Jenjarom, Selangor semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan dalam operasi oleh Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) di tiga lokasi.

Beliau berkata operasi itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan berhubung kes seorang wanita warga Sri Lanka yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi oleh majikannya.

“Hasil risikan telah berjaya mengenal pasti identiti suspek, lokasi kediaman, premis perniagaan serta penempatan pekerja yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata selain suspek, enam lagi warga Sri Lanka berusia antara 21 hingga 51 tahun yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diperdaya dengan tawaran kerja dan janji untuk mendapatkan permit sebelum dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah premis makanan milik suspek.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai dipaksa bekerja tanpa menerima gaji, tidak diberikan makanan yang mencukupi, dikawal pergerakannya serta mengalami kekerasan fizikal sebagai bentuk ugutan dan intimidasi.

“Sehubungan itu, permohonan Perintah Perlindungan Interim telah dibuat terhadap mangsa selaras dengan peruntukan di bawah Akta ATIPSOM,” katanya.

Zakaria berkata suspek, yang memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang melalui perkahwinan dengan seorang warganegara Malaysia, ditahan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 manakala enam warga asing yang turut ditahan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement