Skip to main content

Bisnes

Bank Dunia kekal komited sokong agenda kerajaan digital Malaysia

41732515645_WorldBank.jpg
Green berkata Malaysia telah mencatat kemajuan yang ketara terhadap agenda kerajaan digital menerusi pelaburan dalam infrastruktur digital, platform perkongsian seperti MyGovCloud dan sistem data yang saling beroperasi. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Bank Dunia kekal komited untuk menyokong Malaysia dalam memajukan agenda transformasi digitalnya dengan berkongsi pengalaman antarabangsa, menyediakan sokongan analitikal, memudah cara pertukaran pengetahuan dan bekerjasama merealisasikan cadangan kepada tindakan.

Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia Judith Green berkata institusi itu amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dan berharap dapat meneruskan kerjasama pada tahun-tahun akan datang.

Berucap pada majlis pelancaran Laporan Utama GovTech Malaysia bertajuk ‘Building Malaysia’s Future Government: Unlocking Public Sector Productivity with GovTech’ di sini hari ini, Green berkata Malaysia telah meletakkan asas bagi fasa seterusnya dalam perjalanan transformasi digital.

Beliau menekankan bahawa laporan itu mengesyorkan agar Malaysia memajukan pembaharuan menerusi empat tonggak strategik — Platform, Dasar, Modal Insan dan Penglibatan — bagi memastikan pelaburan GovTech dapat menterjemahkan hasil kepada penambahbaikan sebenar dalam kecekapan kerajaan, kepercayaan rakyat dan keterangkuman sosial.

Laporan itu juga mencadangkan platform yang bersepadu dan saling beroperasi untuk mengurangkan pertindihan; dasar yang menjamin akauntabiliti serta menterjemahkan teknologi kepada pembaharuan yang berwibawa; modal insan dengan kemahiran digital untuk memacu dan mengekalkan transformasi.

Selain itu, ia turut melibatkan penglibatan di mana rakyat, perniagaan dan agensi dilibatkan melalui maklum balas dan reka bentuk bersama untuk menjadikan penyampaian perkhidmatan lebih dipercayai dan inklusif.

“Menerusi empat tonggak ini, Malaysia dapat memastikan GovTech bukan sahaja menjadi alat untuk kecekapan, tetapi juga sebagai pemangkin pertumbuhan mampan dan kemakmuran bersama. Momentum itu sudah ada... kini tugasnya adalah untuk mengekalkan dan menyampaikan 'dividen digital' kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau.

Green berkata Malaysia telah mencatat kemajuan yang ketara terhadap agenda kerajaan digital menerusi pelaburan dalam infrastruktur digital, platform perkongsian seperti MyGovCloud dan sistem data yang saling beroperasi.

Beliau menambah penubuhan Kementerian Digital telah menyediakan satu titik fokus yang jelas untuk menerajui dan menyelaraskan strategi transformasi digital Malaysia, manakala unit baharu GovTech Malaysia akan membantu mempercepatkan pelaksanaan serta menyampaikan penyelesaian digital secara menyeluruh bagi keseluruhan jentera kerajaan.

Katanya asas institusi negara ini juga telah diperkukuh menerusi perluasan berterusan MyDigital ID, Dasar Pengkomputeran Awan Negara, Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dan penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).

Bagaimanapun, Green berkata pengalaman global menunjukkan pelaburan digital sahaja tidak mencukupi, sambil memaklumkan teknologi mesti disesuaikan dengan apa yang digambarkan oleh laporan berkenaan sebagai 'pelengkap analog', yang merangkumi institusi yang kukuh, mekanisme penyelarasan yang berkesan, dasar serta amalan data yang telus dan perkhidmatan awam berkeupayaan digital.

Tanpa elemen-elemen itu, beliau berkata janji yang ditawarkan oleh GovTech berisiko terjejas, terutamanya apabila jangkaan rakyat terus meningkat.

Sebaliknya, Green berkata Bank Dunia teruja dan menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), yang diperjuangkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang memberi tumpuan kepada tatakelola, modal insan dan penyampaian perkhidmatan.

Beliau menyatakan kedudukan Malaysia yang meningkat ke tangga ke-15 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD -- merupakan prestasi terbaiknya dalam tempoh sedekad -- didorong oleh lonjakan 11 anak tangga dalam kecekapan kerajaan, sekali gus menunjukkan usaha pembaharuan itu sudah mula membuahkan hasil.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement