NARATHIWAT: Lima anggota Renjer, Tentera Thailand maut dalam satu serangan hendap di sebuah sekatan jalan raya di Jalan Raya Perbandaran Bu Ke Chami di sub-daerah Tanjong Mas, daerah Ra-ngae, wilayah Narathiwat, sekitar jam 6.45 petang tadi.
Menurut Pegawai Kanan Keselamatan di Wilayah Sempadan Selatan (Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4) dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI memaklumkan, dua orang awam telah cedera, termasuk seorang budak lelaki berusia 10 tahun.
Penyerang yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam melepaskan tembakan sejurus tiba di sekatan jalan raya berkenaan.
Penyerang juga didakwa menggunakan bom paip menyasarkan anggota keselamatan yang berada di tempat kejadian.
Pegawai dan anggota daripada Kompeni Renjer ke-4509 yang terbunuh dikenali sebagai Sarjan Kelas Pertama Thirathet Soma-koet, Renjer Sukarelawan Zakariya Jena, Renjer Sukarelawan Wimon Dapthong Renjer Sukarelawan Nattasit Kaewsena dan Sukarelawan Renjer Cholatid Pi.
Kesemua pasukan keselamatan itu maut di tempat kejadian manakala dua orang awam termasuk kanak kanak dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pihaknya mengecam tindakan keganasan tersebut yang sama sekali tidak berperikemanusiaan, biadab, dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
Tindakan melancarkan serangan dalam komuniti awam tanpa mengambil kira nyawa orang yang tidak bersalah dan kanak-kanak yang tidak berdaya jelas menunjukkan bahawa pelaku tidak mempunyai sebarang sebab yang sah, bertindak semata-mata untuk menyebarkan keganasan, memusnahkan keamanan dan mengganggu kehidupan harmoni masyarakat tempatan di Wilayah Sempadan Selatan.
Pihaknya juga merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga lima anggota Renjer yang berani dan telah mengorbankan nyawa demi menjalankan tugas melindungi masyarakat.
Pasukan keselamatan akan terus memburu setiap pelaku yang terlibat tanpa henti bagi memastikan mereka dikenakan hukuman maksimum mengikut undang-undang.
Pihaknya juga menyeru pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai supaya bersatu padu dalam mengutuk segala bentuk keganasan, serta memperkukuh komitmen bersama kita untuk memulihkan keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan.