Skip to main content

Malaysia

Warga emas tabah jaga anak OKU lebih empat dekad

JERTIH, 22 Julai -- Pasangan warga emas, Halimah Said, 65, dan suaminya Mat Ail Mamat, 78, terpaksa menjaga anak mereka Rosnani, 41, yang terlantar sejak lahir seperti bayi di rumah mereka di Kampung Baru Tok Dor semalam.  Halimah berkata menguruskan Rosnani tidak ubah seperti menjaga bayi, malah dia terpaksa mendapatkan bantuan anak atau cucu untuk mengangkat Rosnani yang kini dianggar seberat sekitar 30 kilogram ke bilik air bagi tujuan membersihkan diri.  Warga emas itu berkata dia dan suami tidak lagi m
Halimah dan Mat Ail menjaga Rosnani yang terlantar sejak lahir seperti bayi di rumah mereka di Kampung Baru Tok Dor. - Gambar Bernama

JERTIH: Lebih empat dekad seorang warga emas tabah mengabdikan hidup menjaga anak perempuan, Rosnani Mat Ail, 41, yang mengalami kecacatan sejak bayi, meskipun usianya kini semakin lanjut dan kudrat pula berkurangan.

Di rumah sederhana mereka di Kampung Baru Tok Dor di sini, Halimah Said, 65, tidak jemu menguruskan setiap keperluan Rosnani dengan bantuan dua lagi anak dan seorang cucu yang tinggal serumah.

Ibu kepada 11 anak itu berkata suaminya, Mat Ail Mamat, 78, sudah tidak berdaya untuk membantu menguruskan Rosnani kerana faktor usia serta mengalami masalah kesihatan. 

“Anak keempat saya itu lahir dalam keadaan sempurna dengan berat kira-kira tiga kilogram (kg) tetapi lemas ketika proses kelahiran sebelum menerima rawatan selama dua minggu di Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan. 

“Ketika itu doktor memaklumkan terdapat kemungkinan Rosnani akan mengalami kecacatan kekal. Dia tidak boleh bergerak dan ketika berusia lapan bulan tangan serta kakinya mula mengalami kekejangan dan menjadi mengecil serta bengkok hingga sampai sekarang," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam. 

Halimah berkata anaknya itu boleh mendengar tetapi tidak mampu bertutur dan hanya tangisan menjadi isyarat apabila lapar atau memerlukan sesuatu, selain bergantung sepenuhnya kepada penjagaan keluarga kerana tidak mampu menguruskan diri.

“Sepanjang hayatnya dia hanya mampu terlantar di atas katil khas beroda sumbangan oleh pihak yang prihatin, manakala urusan kebersihan diri termasuk memandikan, menukar lampin pakai buang serta mengalihkan badan kami yang lakukan. 

“Menjaga Rosnani memerlukan kesabaran yang tinggi kerana dia kerap terjaga pada waktu malam sambil menangis meminta susu, menyebabkan saya sendiri tidak dapat tidur dengan sempurna," katanya menambah anaknya itu hanya mendapatkan nutrisi daripada susu tepung yang diberikan melalui botol susu.

Halimah berkata menguruskan Rosnani tidak ubah seperti menjaga bayi, malah dia terpaksa mendapatkan bantuan anak atau cucu untuk mengangkat Rosnani yang kini dianggar seberat sekitar 30 kilogram ke bilik air bagi tujuan membersihkan diri. 

Warga emas itu berkata dia dan suami tidak lagi mampu bekerja sebagai penoreh getah berikutan faktor usia, dan kini bergantung kepada bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Rosnani untuk menampung pembelian susu tepung dan lampin pakai buang bagi keperluan hariannya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement