Skip to main content

Malaysia

Perkhidmatan awam digesa laksanakan segera cadangan Laporan Govtech - Shamsul Azri

SHAH ALAM, 14 April -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyampaikan ucapan pada Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Shamsul Azri berkata tumpuan harus diberikan kepada sama ada transformasi digital telah dapat mengurangkan masa yang diluangkan oleh rakyat untuk berurusan dengan kerajaan dan memudahkan perniagaan melabur dan berkembang. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha, ketua jabatan dan pemimpin agensi digesa untuk melaksanakan segera cadangan daripada Laporan Utama GovTech Malaysia, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata pembaharuan yang dilakukan perlu dapat dilihat dengan jelas, dinilai dan membawa impak serta menyeru pemimpin kerajaan untuk memanfaatkan sepenuhnya dapatan daripada laporan itu, membincangkannya dengan pasukan kepimpinan mereka dan "menterjemahkan cadangan kepada tindakan segera."  

“Transformasi yang signifikan bermula dengan hanya satu keputusan untuk menambah baik, sama ada dengan memudahkan proses, menghapuskan keperluan yang tidak perlu atau menjadikan perkhidmatan lebih mudah untuk rakyat,” katanya semasa berucap pada pelancaran laporan itu, di sini, hari ini,

Shamsul Azri berkata fasa seterusnya transformasi digital Malaysia bukan lagi untuk mendigitalkan perkhidmatan terpencil, tetapi mewujudkan nilai awam yang lebih besar melalui ekosistem Keseluruh Kerajaan (WoG) yang berstruktur.

Dalam menyokong peralihan ini, Shamzul Azri berkata kerajaan telah menginstitusikan GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital untuk menyelaras Gerbang Perkhidmatan Digital Bersepadu Kerajaan, yang dilaksanakan melalui platform MyGOV Malaysia.

Beliau berkata gerbang mudah alih tunggal yang sangat selamat itu akan menyediakan elemen User Interface and Experience (UI/UX) yang lancar dan seragam untuk rakyat di samping memecahkan silo pentadbiran dan mengoptimumkan sumber awam.

“Persoalan penting kepada kita ialah bukan lagi ‘sejauh mana pencapaian digital kita?’ Persoalan sebenar ialah: ‘Sejauh manakah peningkatan prestasi kerajaan hasil daripada transformasi digital?’” katanya.

Shamsul Azri berkata tumpuan harus diberikan kepada sama ada transformasi digital telah dapat mengurangkan masa yang diluangkan oleh rakyat untuk berurusan dengan kerajaan dan memudahkan perniagaan melabur dan berkembang.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia mempunyai lebih daripada 1.6 juta penjawat awam, menjadikan perkhidmatan awam sebagai salah satu institusi terbesar di negara ini dengan setiap penambahbaikan dalam cara kerajaan beroperasi berpotensi memberi impak positif kepada berjuta-juta rakyat Malaysia setiap hari.

Beliau juga berkongsi bahawa kerajaan telahpun meletakkan asas yang kukuh melalui inisiatif seperti MyDigital ID, penggunaan MyGovCloud yang lebih meluas dan pengembangan perkhidmatan awam tanpa kertas.

Sementara itu, Shamsul Azri menegaskan bahawa teknologi semata-mata tidak dapat mentransformasikan sesebuah organisasi.

"Teknologi tidak mengubah organisasi. Manusia yang mengubahnya. Teknologi hanya membolehkan manusia mencatatkan prestasi yang lebih baik," katanya.

Shamsul Azri berkata transformasi digital yang berjaya sangat bergantung kepada kepimpinan, insan dan budaya, sambil menambah bahawa kepimpinan tidak seharusnya diukur dengan bilangan inisiatif digital yang diluluskan tetapi sama ada inisiatif tersebut dapat meningkatkan kehidupan rakyat.

“Tanggungjawab ini bukan terletak pada Kementerian Digital sahaja. Ia adalah tanggungjawab setiap kementerian, setiap jabatan dan setiap penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata rakyat mengalami "pendekatan keseluruhan kerajaan" dan bukannya satu kementerian pada satu-satu masa, menjadikannya penting bagi agensi untuk memecahkan silo institusi, berkongsi data secara bertanggungjawab dan mereka bentuk perkhidmatan berdasarkan keperluan rakyat.

Katanya, sejarah tidak akan menilai kerajaan berdasarkan bilangan sistem digital yang dibangunkannya, tetapi sama ada kehidupan rakyat Malaysia menjadi bertambah baik hasil daripada keputusan yang dibuat hari ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement