Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: PH tekad kekalkan agenda perpaduan, terus bantu semua kaum - Aminuddin

Aminuddin Harun, Linggi
Aminuddin sewaktu ditemui media ketika berkempen di sini, pada Rabu. - Foto Astro AWANI

LINGGI: Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan dasar pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada semua kaum sekiranya diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan selepas Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16), kali ini.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sebelum ini memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk peruntukan khusus bagi institusi pendidikan agama, hal ehwal bukan Islam dan bantuan kepada sekolah vernakular.

Beliau berkata walaupun setiap kaum mempunyai harapan dan tuntutan masing-masing, kerajaan negeri perlu memastikan pembangunan diagihkan secara adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

“Kita juga memberi bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Pusat Tahfiz dalam satu kumpulan yang sama.

“Jadi kita ingin melihat bahawa inilah Negeri Sembilan bahawa kita berbeza. Jadi kita harap bahawa memang ada sedikit ketidakpuasan (hati) saya yakin orang Melayu pun tak puas (hati), orang Cina pun tak puas hati, orang India pun tak puas hati.

“Tetapi kita harus melihat keseluruhannya dalam keadaan memastikan kestabilan negeri, kita sedang mengangkat negeri ini, kita sedang merubah negeri ini menjadi lebih baik bukan sahaja untuk satu golongan ataupun masyarakat tetapi untuk masyarakat keseluruhan ini yang kita fikirkan.

“Bukan kita fikirkan hanya satu kaum sahaja atau satu agama tetapi kita lihat kita sebagai sebuah entiti keluarga besar ataupun masyarakat di negeri kita,” katanya ketika ditemui media ketika berkempen di sini, pada Rabu.

Menyentuh mengenai manifesto PH untuk PRN16 kali ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, PH memberi penekanan kepada penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, peluang pekerjaan berkualiti dan pengagihan hasil pembangunan negeri untuk dinikmati rakyat secara menyeluruh.

Tambahnya, PH juga berjanji meneruskan agenda pembangunan yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

“Kita (PH) letakkan dalam manifesto kita, (antaranya) penyediaan perumahan, peluang pekerjaan yang lebih baik, bergaji yang lebih bermoral. Kita nak pastikan bahawa pembangunan itu dapat dirasai oleh semua.

“Kita nak sampaikan semula apa yang kita kutip dan kita perolehi setiap tahun kembali kepada rakyat, nak jaga masyarakat itu antara usaha kita. Nak pastikan supaya masyarakat terbanyak, masyarakat keseluruhannya mendapat manfaat daripada kemajuan negeri ini,” katanya lagi.

Pada Isnin, PH telah melancarkan manifesto bagi menghadapi PRN16 bertemakan Stabil, Makmur, Inklusif.

Ia menawarkan 10 komitmen utama yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pendidikan, perumahan dan tadbir urus kerajaan. 
 

Must Watch Video

Advertisement