MANILA: ASEAN menggesa Amerika Syarikat (AS) selaku kuasa besar dunia memainkan peranan sewajarnya dalam meredakan ketegangan geopolitik terutama di Asia Barat bagi mengembalikan keamanan dan merangsang pertumbuhan ekonomi global.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu dimaklumkan kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri (PMC) bersama negara itu bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-59 serta Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.
“Kita juga berbincang bagaimana AS perlu terus berunding dengan Iran supaya ketegangan dapat dihentikan. Itu memerlukan azam dan persefahaman yang kuat bagi kedua-dua pihak dan Rubio memaklumkan mereka juga berhasrat ke arah itu (tamatkan konflik),” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kepentingan hubungan ASEAN sebagai blok serantau dengan AS turut dibincangkan pada mesyuarat tersebut.
Mohamad berkata beliau juga membangkitkan mengenai kepentingan hubungan Malaysia dengan AS yang merupakan rakan dagang dan pelabur terbesar negara.
“Saya nyatakan bahawa hubungan dua hala perlukan kerjasama serta hormat-menghormati tentang dasar negara-negara di ASEAN dan mereka perlu mengenal pasti setiap negara yang mempunyai latar belakang yang berlainan,” katanya.
Mohamad berkata pada sesi PMC bersama India pula, antara perkara dibincangkan termasuk usaha mempertingkat perdagangan melibatkan negara itu bersama negara anggota ASEAN serta menangani kekangan akses produk ASEAN ke pasaran India.
Selain itu, katanya, beliau turut membangkitkan beberapa isu kerenah birokrasi di India yang menyulitkan kemasukan produk termasuk dari Malaysia ke negara itu.
“Kita sebagai suara ASEAN mahu urusan perdagangan dipermudah, tidak ada apa yang dipanggil sebagai protectionist (dasar perlindungan) di pihak itu,” katanya.
Sementara itu, mengenai sesi PMC bersama Kanada, Mohamad berkata negara berkenaan memberi jaminan untuk memainkan peranan sewajarnya dalam usaha memelihara keselamatan dan keamanan di rantau Asia Tenggara.
“Kita mengalu-alukan sebarang bentuk peranan yang boleh dimainkan, tetapi tidak secara langsung. Ia perlu melalui ASEAN kerana ASEAN ada mekanisme dan platform tersendiri. Jadi kita tidak mahu pula terlampau banyak campur tangan daripada pihak luar,” katanya.
Di sela-sela AMM ke-59 yang diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN 2026 oleh Filipina di bawah tema “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Pemangku Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Christian Saunders.
Beliau juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Bantuan Palestin Dr Samah Hamad.
-- BERNAMA