KUALA LUMPUR: Kawal selia digital kini berperanan lebih daripada sekadar mengawal industri, apabila ia turut menjadi pemangkin kepada inovasi, pelaburan dan keyakinan terhadap ekosistem digital.
Penasihat Kanan (Operasi) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata, antara mesej paling penting yang muncul daripada dialog yang dikendalikannya ialah perubahan cara pengawal selia melihat peraturan dalam era digital yang berkembang pantas.
Menurut beliau, perbincangan itu mempertemukan pelbagai perspektif yang berbeza iaitu keperluan pasaran yang mahukan peraturan lebih ringan, serta tanggungjawab pengawal selia memastikan keselamatan dan kepentingan awam terus terpelihara.
"Antara idea yang diketengahkan ialah sama ada Malaysia perlu mempertimbangkan pendekatan national regulatory sandbox, seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara.
"Pendekatan ini memberi ruang kepada inovasi berkembang dalam persekitaran yang terkawal sebelum sesuatu teknologi atau perkhidmatan diperkenalkan secara meluas," katanya.
Beliau berkata, dialog tersebut turut mencetuskan perspektif baharu bahawa setiap dasar dan peraturan yang digubal boleh dilihat sebagai satu bentuk "produk pelaburan" yang mampu meningkatkan keyakinan pelabur, dan bukannya sekadar mekanisme penguatkuasaan.
"Ini merupakan satu perubahan besar daripada pemahaman tradisional mengenai kawal selia. Jika peraturan dibangunkan dengan baik, ia bukan sahaja melindungi pengguna tetapi juga mampu menarik pelaburan berkualiti dan menggalakkan inovasi," katanya.
Mengulas mengenai kepentingan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2026), beliau menyifatkan persidangan itu sebagai platform membina keyakinan (confidence-building measure) yang menghimpunkan pengawal selia, pemain industri, pembuat dasar dan pakar teknologi dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman serta amalan terbaik.
Katanya, kolaborasi antarabangsa menjadi semakin penting apabila dunia kini berdepan perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum, yang memerlukan pendekatan tadbir urus lebih menyeluruh.
"Apabila kita bercakap mengenai tadbir urus AI, ramai menganggap ia hanya melibatkan kerajaan dan pengawal selia. Hakikatnya, satu lagi elemen yang sama penting ialah tadbir urus oleh industri iaitu bagaimana industri sendiri membangunkan etika, piawaian dan prinsip safety by design dalam pembangunan teknologi," jelasnya.
Beliau berkata, dialog pada hari kedua persidangan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam membentuk rangka kerja AI yang mampu mengimbangi inovasi, keselamatan dan kepercayaan.
Menurut beliau, matlamat utama persidangan adalah membantu pengawal selia membangunkan dasar yang mampu membina keyakinan dalam kalangan inovator, pelabur dan pengguna secara serentak.
"Cabaran sebenar ialah bagaimana kita merangka peraturan yang bukan sahaja menyokong pembangunan teknologi, malah memastikan ekosistem digital kekal selamat dan dipercayai. Apabila ketiga-tiga elemen ini dapat digabungkan, barulah inovasi dapat berkembang secara mampan," katanya.
Dalam keterujaan membincangkan teknologi masa depan, Zurkarnain mengingatkan bahawa dunia tidak boleh mengabaikan isu asas keterangkuman digital yang masih menjadi cabaran global.
"Malaysia telah mencapai liputan internet sekitar 98 peratus, namun masih terdapat komuniti yang belum menikmati akses internet yang berkualiti. Sebelum kita bercakap tentang AI secara menyeluruh, kita perlu memastikan asasnya iaitu capaian internet dapat dinikmati semua rakyat."
"Tanpa infrastruktur rangkaian yang menyeluruh, akan sentiasa ada kelompok masyarakat yang tercicir daripada arus transformasi digital. AI tidak boleh dipisahkan daripada agenda keterangkuman digital kerana kedua-duanya perlu bergerak seiring," katanya.
Beliau menegaskan, masa depan digital bukan sekadar bergantung kepada kecanggihan teknologi, tetapi juga keupayaan semua pihak untuk membina rangka kerja yang mengimbangi inovasi, pelaburan, keselamatan dan akses saksama kepada seluruh masyarakat.