WASHINGTON: Persiapan bagi lawatan Presiden China Xi Jinping ke Amerika Syarikat (AS) berjalan mengikut jadual walaupun ketegangan antara Washington dan Beijing sejak kebelakangan ini, kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Kami menjangkakan lawatan itu akan berlangsung pada September," kata Rubio kepada pemberita di Joint Base Andrews sebelum berlepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Beliau berkata pegawai China terus menghantar pasukan persediaan bagi mengatur lawatan berkenaan.
"Saya tidak mendengar sebarang perkembangan yang sebaliknya. Saya tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mereka tidak akan datang," katanya.
Kementerian Luar China memaklumkan kedua-dua pihak terus berhubung mengenai pertemuan yang dirancang pada akhir tahun ini.
Pada Khamis, Presiden AS Donald Trump menuduh China campur tangan dalam pilihan raya presiden AS 2020 yang menyaksikan beliau tewas kepada Joe Biden. Beijing menolak dakwaan itu.
Trump melawat Beijing pada Mei lalu dan mengundang Xi mengadakan lawatan balas ke Rumah Putih pada 24 Sept.
Rubio berkata perbezaan pendapat antara kuasa besar seperti AS dan China tidak dapat dielakkan, namun menegaskan kedua-dua negara bertanggungjawab mengekalkan dialog dan hubungan demi kepentingan rakyat masing-masing serta masyarakat antarabangsa.
Peluang untuk mengadakan perbincangan mungkin muncul seawal Selasa sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila, Filipina.
Beijing mengesahkan bahawa Menteri Luar China Wang Yi akan menghadiri mesyuarat itu.
-- BERNAMA-dpa