Skip to main content

Dunia

Perancis keluar amaran tertinggi kebakaran hutan bagi lima wilayah selatan

france wildfire
Amaran itu dikeluarkan ketika anggota bomba terus berusaha memadamkan beberapa kebakaran di seluruh negara. - Reuters

VAR: Perancis pada Selasa mengeluarkan amaran kebakaran hutan pada tahap tertinggi bagi lima wilayah di selatan negara itu susulan cuaca panas dan keadaan kering yang meningkatkan risiko kebakaran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Perkhidmatan cuaca kebangsaan Meteo-France meletakkan Aude, Gard, Bouches-du-Rhone, Var dan Vaucluse pada tahap risiko kebakaran "sangat tinggi", manakala 30 lagi wilayah diklasifikasikan berdepan risiko "tinggi", menurut penyiar awam Franceinfo.

Enam wilayah iaitu Herault, Var, Haute-Corse, Corse-du-Sud, Gard dan Bouches-du-Rhone turut diletakkan di bawah amaran gelombang haba tahap jingga.

Amaran itu dikeluarkan ketika anggota bomba terus berusaha memadamkan beberapa kebakaran di seluruh negara.

Kebakaran yang tercetus pada Isnin di kawasan Bois Noir, antara perbandaran L'Argentiere-la-Bessee dan Freissinieres di wilayah Hautes-Alpes, telah memusnahkan 50 hektar kawasan menjelang petang Isnin.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan kebakaran itu berlaku di kawasan pergunungan yang mempunyai cerun curam.

Di wilayah Var, kebakaran hutan yang bermula di Taradeau sebelum merebak ke Les Arcs-sur-Argens berjaya dikawal sepenuhnya selepas memusnahkan hampir 200 hektar kawasan.

Seramai 350 anggota bomba bersama kira-kira 100 kenderaan serta aset pemadaman dari udara masih berada di lokasi ketika operasi diteruskan.

Di Haute-Corse, kebakaran berhampiran Albertacce dan Corte memusnahkan keseluruhan 570 hektar kawasan, dengan kira-kira 250 anggota bomba digerakkan bersama sokongan udara yang besar.

Pihak berkuasa turut memindahkan kira-kira 2,700 orang dari dua tapak perkhemahan di pesisir Vendee semalaman susulan kebakaran di Les Sables-d'Olonne dan Saint-Jean-de-Monts.

Kebakaran belukar berhampiran sebuah tapak perkhemahan di Les Sables-d'Olonne memusnahkan 13 hektar kawasan sebelum berjaya dikawal. Operasi itu membabitkan 131 anggota bomba dan dua pesawat pengebom air. Seorang penghuni tapak perkhemahan mengalami serangan jantung dan dikejarkan ke hospital.

Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez pada Isnin berkata "kurang sedikit daripada 40,000 hektar hutan atau kawasan tumbuh-tumbuhan" telah terbakar di seluruh Perancis sejak awal tahun.

Beliau berkata jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding keseluruhan keluasan yang terbakar tahun lepas, malah melebihi keluasan yang direkodkan pada 2022, yang sebelum ini dianggap sebagai antara musim kebakaran paling buruk.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement