KUALA LUMPUR: Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Petaling Jaya semalam dipercayai berpunca daripada taburan hujan lebat luar biasa serta beberapa projek naik taraf sistem saliran yang masih dalam pelaksanaan dan belum siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Setia, Dr Fahmi Ngah berkata, pelbagai projek menaik taraf infrastruktur saliran dan tebatan banjir sedang dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya bagi meningkatkan kapasiti sistem perparitan sedia ada serta mengurangkan risiko banjir pada masa hadapan.
"Terdapat banyak projek naik taraf sistem saliran yang sedang dilaksanakan di Petaling Jaya ketika ini. Namun, projek-projek tersebut masih dalam peringkat pembangunan dan belum siap sepenuhnya," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Meskipun insiden banjir kilat semalam menimbulkan kesulitan kepada penduduk dan pengguna jalan raya, pelaksanaan projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) didesak mengambil tindakan segera termasuk melaksanakan cadangan pembinaan kolam tadahan bagi menangani masalah banjir kilat berulang di Medan Selera 223, Seksyen 51A, Petaling Jaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, cadangan itu telah dibangkitkan sejak beberapa bulan lalu selepas lawatan bersama pihak berkaitan ke lokasi terjejas, namun sehingga kini masih belum ada tindakan konkrit dilaksanakan.
Menurutnya, kolam tadahan mampu berfungsi sebagai langkah segera untuk mengurangkan limpahan air yang menyebabkan kawasan berkenaan kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat.
Afif menjelaskan, banjir yang berlaku bukan semata-mata berpunca daripada hujan lebat, sebaliknya disebabkan aliran air yang tinggi dari kawasan sekitar sebelum memasuki sistem perparitan yang terletak di bawah medan selera tersebut.
Katanya, keadaan itu menyebabkan air bertakung sebelum dapat mengalir ke Sungai Klang, sekali gus mencetuskan banjir kilat yang berulang.
Medan Selera 223 di Petaling Jaya dilanda banjir kilat pada Sabtu susulan hujan lebat, menjadikannya kejadian ketiga yang direkodkan di lokasi berkenaan dalam tempoh kurang tiga bulan.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan paras air mencecah bawah pinggang sehingga menjejaskan operasi peniaga dan pelanggan.