KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan aset kerajaan ketika menghadiri beberapa program di Kelantan baru-baru ini.
Muhammad Kamil, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan beliau hanya mengiringi Anwar ke beberapa acara rasmi di Kelantan atas kapasiti tugasnya.
“Tak betul, sebenarnya saya ditugaskan untuk menemani Perdana Menteri untuk menghadiri beberapa acara di Kelantan.
“Saya cuma ikut atas kapasiti saya sebagai Setiausaha Politik dalam menjalankan tugas tersebut,” katanya menerusi rakaman sebuah video yang dikongsikan kepada Astro AWANI hari ini.
Muhammad Kamil berkata, tugasan itu melibatkan pengiringan Perdana Menteri ke beberapa program rasmi di Kelantan.
Antaranya Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, majlis ramah mesra bersama masyarakat setempat di sebuah masjid di Gong Capa serta Konvensyen Parti Keadilan Rakyat di Kota Bharu.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya sehingga boleh mencetuskan fitnah.
"Saya nak ingatkan kepada semua, khususnya netizen dan pengguna TikTok, supaya lebih berhati-hati. Dalam era teknologi hari ini, fakta boleh diputar belit dan cerita boleh diolah mengikut tujuan serta kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Tambahnya, menjelang musim pilihan raya, akan ada pihak yang cuba memutar belit kenyataan, menyunting gambar dan video bagi menyerang musuh politik yang tidak sehaluan.
“Fitnah ini bahayanya ataupun kesannya lebih besar daripada membunuh… Hati-hati sebelum kita menerima satu berita, sebelum kita menerima satu-satu kenyataan siasat dan teliti dahulu,” katanya lagi.