Skip to main content

Dunia

Khamenei seru perpaduan nasional ketika Iran berdepan tekanan konflik dengan AS

Mourners chant slogan as one of them holds a poster of the Supreme Leader Ayatollah Mojtaba Khamenei in a ceremony commemorating the late Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei at the Imam Khomeini Mosalla Grand Mosque in Tehran, Tuesday, July 14, 2026. (AP Photo/Vahid Salemi)
Orang ramai melaungkan slogan sambil seorang daripadanya memegang poster Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, dalam majlis memperingati Allahyarham Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, di Masjid Agung Imam Khomeini Mosalla, Tehran. - Foto AP

TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, menyeru rakyat dan kepimpinan negara itu supaya memperkukuh perpaduan nasional serta mengelakkan perpecahan politik ketika konflik dengan Amerika Syarikat (AS) terus memuncak.

Dalam mesej terbaharunya, Khamenei menegaskan bahawa rakyat dan pegawai kerajaan perlu menjauhi pertikaian politik serta tidak membiarkan jurang sosial semakin melebar di tengah-tengah ketegangan berterusan dengan kuasa luar.

Beliau berkata musuh Iran, yang dipercayai merujuk kepada AS dan Israel, tidak boleh melihat sebarang tanda kelemahan dalam kalangan rakyat dan pemimpin negara itu.

Seruan itu dibuat ketika Iran berdepan perdebatan dalaman berhubung memorandum persefahaman (MoU) dengan Washington yang sebelum ini bertujuan menghentikan pertempuran selama empat bulan antara kedua-dua pihak.

Pada Jun lalu, Khamenei mengakui beliau mempunyai pandangan berbeza mengenai perjanjian tersebut, namun tetap meluluskannya selepas Presiden Masoud Pezeshkian, selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, menerima tanggungjawab terhadap keputusan berkenaan.

Kenyataan itu mencetuskan bantahan dalam kalangan penyokong tegar Republik Islam yang menganggap perjanjian berkenaan memberi kelebihan kepada AS. Golongan konservatif dan kumpulan garis keras terus mengadakan perhimpunan di beberapa bandar bagi menyuarakan penolakan mereka terhadap MoU tersebut.

Ahli Parlimen konservatif Mahmoud Nabavian turut mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan maklumat sulit dalam siaran televisyen secara langsung, dipercayai sebagai usaha untuk menggagalkan pelaksanaan perjanjian itu.

Beliau kemudian disingkirkan daripada Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen awal bulan ini.

Ketegangan politik semakin memuncak apabila beberapa pegawai yang dikaitkan dengan perjanjian tersebut dituduh mengkhianati negara, manakala Presiden Pezeshkian dan beberapa pemimpin lain turut menerima cemuhan ketika menghadiri upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.

Walaupun MoU itu kini digantung oleh Tehran, perjanjian tersebut dilihat semakin sukar dipertahankan selepas Iran dan AS saling melancarkan serangan berkaitan kawalan di Selat Hormuz yang strategik sejak minggu lalu.

Dalam usaha menunjukkan kesepakatan antara kepimpinan politik dan tentera, beberapa pegawai kanan Iran tampil menyokong mesej Khamenei.

Ketua Pemerintahan Bersama Zaman Perang Iran, Ali Abdollahi, berkata angkatan bersenjata akan mematuhi arahan pemimpin tertinggi untuk mengekalkan perpaduan nasional dan kesepaduan rakyat.

Pada masa sama, beliau memberi amaran bahawa AS akan menerima tindak balas yang tegas terhadap serangan yang menurut Iran telah menyebabkan kemusnahan kepada jambatan, jalan raya dan infrastruktur awam negara itu.

Presiden Pezeshkian pula menyifatkan mesej Khamenei sebagai bijaksana dan menegaskan bahawa perpaduan serta kepercayaan terhadap institusi negara adalah kunci untuk menghadapi cabaran semasa.

Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang turut dikritik oleh golongan konservatif kerana peranannya dalam rundingan dengan AS, berkata pematuhan terhadap arahan pemimpin tertinggi amat penting bagi memastikan kejayaan Iran dalam menghadapi tekanan luar.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, terus mempertahankan pendekatan diplomatik sebagai jalan terbaik untuk menamatkan konflik yang telah menyebabkan kerosakan besar kepada kemudahan awam dan industri negara.

Bagaimanapun, ketika serangan balas antara Iran dan AS masih berterusan, belum terdapat sebarang petunjuk bahawa kedua-dua pihak akan kembali ke meja rundingan dalam masa terdekat.
 

 

Must Watch Video

Advertisement