CAPE TOWN: Beberapa pekerja di Loji Kuasa Nuklear Koeberg di Afrika Selatan terdedah kepada radiasi ketika menjalankan kerja penyelenggaraan dalam tiga insiden yang berlaku sejak beberapa minggu lepas, kata Menteri Tenaga Kgosientsho Ramokgopa pada taklimat media pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ramokgopa berkata insiden berkenaan berjaya dikawal, tiada bahan radioaktif dilepaskan ke persekitaran dan tiada sebarang bahaya kepada komuniti berhampiran.
Insiden di loji kuasa yang terletak kira-kira 30 kilometer di utara Cape Town itu berlaku pada 30 Jun serta 2 dan 7 Julai lepas.
Menurut menteri itu, kejadian berpunca daripada gangguan bekalan elektrik sementara yang menjejaskan sistem pengudaraan loji berkenaan.
Beliau berkata dos radiasi yang diterima pekerja adalah lebih rendah berbanding pendedahan daripada sinar-X pergigian rutin.
Sementara itu, Ketua Bahagian Keselamatan Nuklear Afrika Selatan Velaphi Ntuli berkata insiden itu tidak mencapai ambang yang memerlukan ia dilaporkan sebagai insiden keselamatan nuklear.
-- BERNAMA-dpa