Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: PH umum manifesto esok

SEREMBAN, 19 Julai -- Ketua Pengarah Bilik Gerakan Pakatan Harapan Negeri Sembilan Datuk Muhammad Zaki Md Sabri ketika mengadakan sidang media di sebuah hotel hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pengarah Bilik Gerakan Pakatan Harapan Negeri Sembilan Datuk Muhammad Zaki Md Sabri ketika mengadakan sidang media di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan manifesto gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada malam esok.

Ketua Pengarah Bilik Gerakan PH Negeri Sembilan Datuk Muhammad Zaki Md Sabri berkata manifesto itu menumpukan pada aspek kesinambungan pembangunan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat negeri tersebut sejak PH menerajui kerajaan negeri pada 2018.

Beliau berkata manifesto itu telah diperincikan secara holistik oleh kepimpinan tertinggi parti demi memastikan impak ekonomi dan sosial yang mampan kepada rakyat dapat direalisasikan.

“Insya-Allah, manifesto akan dilancarkan malam esok. Sekretariat PH akan memaklumkan perincian mengenai lokasi dan kehadiran pimpinan.

“Manifesto akan memberi penekanan terhadap kesinambungan kejayaan serta kemajuan negeri ini seperti yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai gerak kerja jentera parti pada hari kedua kempen, Muhammad Zaki berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran operasi logistik serta sokongan positif pengundi kepada calon PH.

Beliau berharap semua parti yang bertanding dapat mengekalkan momentum kempen yang sihat dan bersih daripada provokasi melampau serta mengelak daripada menyentuh sensitiviti berkaitan institusi diraja, agama dan kaum (3R).

DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala undi awal pada 28 Julai.

Sebanyak 889,490 pengundi berdaftar layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement