Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Dari dukungan Messi ke pelukan seorang juara dunia

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Final - Spain v Argentina - New York/New Jersey Stadium, East Rutherford, New Jersey, U.S. - July 19, 2026 Spain's Lamine Yamal and Argentina's Lionel Messi embrace after the match as Spain win the World Cup REUTERS/Jeenah Moon
Pemain Sepanyol, Lamine Yamal (kiri), dan kapten Argentina, Lionel Messi, berpelukan selepas tamat perlawanan akhir Piala Dunia, dengan Sepanyol muncul juara selepas menewaskan Argentina di East Rutherford, New Jersey. - Foto REUTERS

KETIKA pemain-pemain Sepanyol berlari meraikan kejayaan menjuarai Piala Dunia 2026, Lamine Yamal memilih untuk menuju ke arah yang berbeza.

Pemain berusia 19 tahun itu berjalan perlahan ke tengah padang.

Di situ berdiri Lionel Messi, kapten Argentina yang baru sahaja menyaksikan impian mempertahankan kejuaraan dunia berakhir selepas kekalahan 0-1 kepada Sepanyol dalam masa tambahan.

Beberapa saat kemudian, Yamal memeluk idolanya.

Tiada kata-kata yang kedengaran di tengah hiruk-pikuk puluhan ribu penyokong di Stadium New York New Jersey.

Namun pelukan ringkas itu sudah cukup menceritakan segala-galanya.

Bagi peminat bola sepak, hubungan antara Yamal dan Messi bukan sekadar kisah dua pemain yang bertemu dalam final Piala Dunia.

Lebih sedekad lalu, dunia bola sepak dikejutkan dengan penyebaran semula sekeping gambar lama yang menunjukkan Messi sedang memandikan seorang bayi dalam satu sesi fotografi amal Barcelona. Bayi itu ialah Yamal.

Image
In 2007 ,🇦🇷Lionel Messi, then 20 years old, was 📷photographed holding a newborn baby, 🇪🇸🇲🇦Lamine Yamal. The image was taken at a UNICEF event in the Roca Fonda neighborhood of Mataró. Lamine's family had won a raffle that allowed them to pose with a Barcelona player. This is how Messi, still very young and shy, found himself holding the baby in a small bathtub at 🏟️ Camp Nou. Photographer Joan Monfort (AP) told The Athletic that the moment wasn't easy_Joan Monfort - AP

Pada ketika itu, Messi sedang membina reputasinya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.

Yamal pula hanyalah seorang kanak-kanak yang belum tahu apa-apa mengenai perjalanan luar biasa yang menantinya.

Masa berlalu.

Messi terus mengumpul trofi dan mencipta sejarah. Yamal pula membesar menjadi antara bakat paling luar biasa yang pernah dilahirkan Sepanyol.

Di pentas final Piala Dunia, mereka akhirnya berdiri sebagai lawan.

Messi hadir dengan harapan membawa Argentina mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2022.

Yamal pula mengetuai generasi baharu Sepanyol yang memburu gelaran dunia kedua negara itu.

Malam itu milik Sepanyol.

Pasukan kendalian Luis de la Fuente menguasai permainan sebelum Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 untuk memastikan trofi kembali ke Madrid buat kali pertama sejak 2010.

Ketika rakan sepasukannya meraikan kejayaan bersejarah itu, Yamal terlebih dahulu mencari Messi.

Barangkali ia sekadar tanda hormat daripada seorang pemain muda kepada legenda yang membentuk impiannya.

Barangkali juga ia pengiktirafan kepada seorang pemain yang telah membuka jalan kepada generasi baharu sepertinya.

Apa pun maknanya, pelukan itu menjadi antara imej paling bermakna daripada final Piala Dunia 2026.

Suatu ketika dahulu, Messi mendukung seorang bayi dalam sesi fotografi yang tidak membawa apa-apa makna besar.

Pada Ahad malam di New Jersey, bayi itu berdiri di hadapannya sebagai juara dunia.
 

 

Must Watch Video

Advertisement