Skip to main content

Teknologi

A10 Networks ambil alih TrojAI, perkukuh keselamatan aplikasi AI

A10 Mengambilalih TrojAI Untuk Mengukuhkan Keselamatan Sistem Dan Pembangunan Teknologi AI -- amanz
Pengambilalihan itu bertujuan memperkukuh keupayaan A10 Networks dalam menyediakan penyelesaian keselamatan AI berdaulat, selain membantu organisasi meningkatkan kawalan terhadap perlindungan model, data dan sistem AI. -Gambar Amanz

SYARIKAT keselamatan siber global, A10 Networks, mengumumkan pengambilalihan TrojAI, firma keselamatan kecerdasan buatan (AI) yang memfokuskan kepada kawalan, pengujian dan tadbir urus aplikasi AI serta aliran kerja berasaskan ejen (agentik), lapor Amanz.

Pengambilalihan itu bertujuan memperkukuh keupayaan A10 Networks dalam menyediakan penyelesaian keselamatan AI berdaulat, selain membantu organisasi meningkatkan kawalan terhadap perlindungan model, data dan sistem AI.

TrojAI menyediakan dua lapisan perlindungan khusus bagi menangani risiko berkaitan penggunaan AI.

Lapisan pertama melibatkan simulasi serangan pasukan merah (red team) untuk menguji dan mengenal pasti kelemahan dalam model serta aplikasi semasa fasa pembangunan.

Lapisan kedua pula merangkumi perlindungan ancaman masa nyata (runtime) menerusi penguatkuasaan tembok api pintar apabila sistem AI telah digunakan dalam operasi sebenar.

Pendekatan dwilapisan ini membolehkan organisasi mengurus keselamatan secara menyeluruh, khususnya apabila aplikasi AI melibatkan ejen perisian yang beroperasi secara autonomi.

Gabungan teknologi A10 Networks dan TrojAI dijangka membolehkan sektor awam dan swasta mengguna pakai aplikasi AI generatif dengan lebih selamat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif A10 Networks, Dhrupad Trivedi berkata keupayaan TrojAI melengkapkan portfolio penyelesaian keselamatan siber syarikat itu.

Menurut beliau, pengujian serta perlindungan aplikasi yang ditawarkan TrojAI sejajar dengan keperluan pelanggan dalam mengembangkan penggunaan AI secara selamat dan berskala.

Susulan pengambilalihan tersebut, A10 Networks akan mengintegrasikan teknologi TrojAI ke dalam platform keselamatan sedia ada.

Langkah itu membolehkan pelanggan melaksanakan perkhidmatan AI secara lebih selamat merentas persekitaran sistem dan lokasi data.

 

Must Watch Video

Advertisement