Skip to main content

Politik

PRN Johor: Bersama bukan untuk ‘disembelih’, mampu tandingi parti sedia ada - Rafizi

Bersama, Rafizi Ramli, Calon Bersama, PRN Johor_Astro AWANI
Rafizi mengakui sebagai parti baharu, Bersama berdepan cabaran besar untuk menembusi persaingan yang didominasi parti-parti lama, namun menegaskan fokus utama ketika ini adalah untuk membina asas sokongan. - Gambar Astro AWANI

JOHOR BAHRU: Parti Bersama Malaysia (Bersama) menegaskan kehadiran mereka dalam Pilihan Raya Negeri Johor buat julung kali, bukan sekadar pelengkap pertandingan, sebaliknya mampu memberi saingan kepada parti-parti sedia ada walaupun baru ditubuhkan.

Pengasas yang juga Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Bersama yang kini berusia kira-kira 40 hari telah menunjukkan keupayaan untuk bergerak dan berkempen dalam tempoh yang singkat.

Menurut beliau, persepsi bahawa parti itu sekadar 'kambing sembelihan', dan mahu memecahkan undi, tidak lagi tepat berdasarkan perkembangan semasa.

“Ramai fikir bila kita masuk, kita masuk dengan serah leher untuk disembelih. Tetapi dalam tempoh dua hingga tiga minggu, kita dah boleh berdiri dan bergerak setanding dengan parti lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon Bersama di Johor Bahru, pada Jumaat.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, kehadiran Bersama yang mempunyai nama jolokan ‘kancil’ itu juga perlu dilihat dalam konteks perubahan tingkah laku pengundi yang semakin kompleks dan tidak lagi tertumpu kepada satu parti semata-mata.

“Sebenarnya undi itu memang sudah pun berpecah. Rakyat boleh nampak parti-parti sedia ada lebih banyak bergaduh sesama sendiri daripada bercakap tentang isu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengkritik pendekatan politik semasa yang menurutnya lebih menumpukan kepada percaturan kuasa berbanding memberi perhatian kepada keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

“Politik sekarang ini lebih kepada siapa nak dapat kuasa, siapa nak jadi Perdana Menteri, siapa nak jadi Menteri Besar. Isu rakyat tidak lagi menjadi keutamaan,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Rafizi turut menyentuh beberapa isu utama yang dihadapi penduduk Johor, khususnya di kawasan selatan seperti Johor Bahru, Tebrau dan Pasir Gudang.

Menurut beliau, kesesakan trafik, peningkatan kos sara hidup serta harga hartanah yang semakin tinggi merupakan antara cabaran sebenar yang dihadapi rakyat, namun tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam kempen pilihan raya.

“Harga rumah meningkat tetapi pendapatan rakyat tidak naik pada kadar yang sama. Akhirnya anak tempatan sukar memiliki rumah sendiri walaupun hanya sebuah apartmen,” katanya.

Rafizi berkata pilihan raya tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai proses memilih parti, tetapi lebih penting memilih wakil rakyat yang berani membawa suara pengundi.

“Pengundi bukan pilih parti semata-mata, tetapi pilih wakil rakyat. Kita perlukan wakil rakyat yang berani bersuara walaupun berdepan tekanan.

“Kita mahu buktikan politik boleh dibuat tanpa rasuah dan tanpa bergantung kepada dana besar. Dana kempen kami datang daripada rakyat biasa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan tiga matlamat utama Bersama dalam PRN Johor iaitu memberi pilihan kepada rakyat, membuka ruang kepada calon daripada kalangan rakyat biasa serta membuktikan bahawa politik boleh dijalankan tanpa kebergantungan kepada wang dan rasuah.

Katanya, pendekatan tersebut diterjemahkan melalui pelbagai langkah termasuk pengisytiharan harta calon serta pembiayaan kempen yang bergantung kepada sumbangan kecil daripada penyokong.

Rafizi bagaimanapun mengakui sebagai parti baharu, Bersama berdepan cabaran besar untuk menembusi persaingan yang didominasi parti-parti lama, namun menegaskan fokus utama ketika ini adalah untuk membina asas sokongan.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya, Johor mempunyai kira-kira 2.73 juta pemilih berdaftar.

Dari segi garis masa, penamaan calon berlangsung pada 27 Jun, diikuti oleh undi awal pada 7 Julai 2026, sebelum hari pengundian utama pada 11 Julai 2026.

 

Berikut adalah calon penuh Parti Bersama Malaysia

•  N.29 Mahkota: Abd Hamid Bin Ali 
•  N.46 Perling: Boo Wei Han 
•  N.43 Permas: Dr. Zamil Najwah 
•  N.48 Skudai: Eugene Chua Meng Chong 
•  N.40 Tiram: Harith Fakhrudin Abdul Malek 
•  N.14 Bukit Naning: Iskandar Bin Md Alias 
•  N.42 Johor Jaya: Lau Yi Leong 
•  N.50 Bukit Permai: Muhammad Aidil Riduan Bin Mohd Yusof 
•  N.41 Puteri Wangsa: Nicholas Paul Vincent 
•  N.44 Larkin: Norsinah Abu 
•  N.49 Kota Iskandar: Sahrudin Bin Omar 
•  N.47 Kempas: Salamahafifi Mohd Yusnaieny 
•  N.45 Stulang: Stanley Tan 
•  N.51 Bukit Batu: Tamili A/P Gopalakrishnan 
•  N.52 Senai: Tew Chian How

Must Watch Video

Advertisement